Aliff Syukri terkilan bayar berjuta tapi dilayan macam budak sekolah... Ini komen Astro! - Hiburan | mStar

Aliff Syukri terkilan bayar berjuta tapi dilayan macam budak sekolah... Ini komen Astro!

Aliff selaku penaja tidak berpuas hati dengan layanan yang diberi oleh pihak produksi GV.

ISU Datuk Seri Aliff Syukri dikatakan meninggalkan malam akhir Gegar Vaganza 5 (GV5) pada Ahad kerana tidak berpuas hati dengan Astro mungkin hanya salah faham.

Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd Kamal berkata, pada awalnya tiada sebarang isu yang timbul membabitkan kedua-dua pihak kerana semuanya sudah dinyatakan secara jelas dalam perbincangan.

Bagaimanapun, dia enggan mengulas lanjut punca menyebabkan Aliff memuat naik rakaman video menyatakan perasaan kurang berpuas hati dengan layanan produksi kerana perlu mendengar terlebih dahulu kenyataan media yang akan dibuat usahawan tersebut.

Emarina Mohd Kamal

"Sebenarnya, kita dah bincang dengan Datuk Aliff yang dia boleh menyanyi, semuanya dah dinyatakan dengan jelas.

"Bagi kami semuanya dah selesai, apa dia minta kita dah penuhi seperti telah dijanjikan cuma mungkin ada salah faham.

"Apa yang menyebabkan dia tak puas hati, kita tak boleh nak komen lagi kerana kita perlu dengar dulu kenyataannya dalam sidang media yang akan Datuk Aliff buat nanti," katanya kepada mStar Online.

Ermarina ditemui semasa sidang media Konsert Akhir GV6 yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam, Selangor pada Ahad.

Aliff selaku penaja utama program tersebut tidak kelihatan pada sidang media sejurus konsert dan dipercayai sudah pulang sebelum rancangan itu berakhir.

Menerusi Instagram, pengasas produk D’herbs itu meluahkan perasaan kecewa dengan layanan yang diberikan oleh pihak produksi terhadapnya.

Aliff terkilan apabila beberapa orang rakannya tidak dibenarkan menari bersama di atas pentas GV bagi mempromosikan lagu baharu berjudul Biar Apa Orang Kata.

Aliff tidak puas hati apabila rakan-rakannya tidak dapat menari di pentas GV.

"Jangan layan saya macam budak sekolah, saya bayar berjuta-juta kut. Kalau saya tahu jadi macam ni, saya tak akan pergi GV dan tak payah menyanyi lagi bagus.

"Saya mohon maaf kat Datuk Seri Vida, Datuk Seri Salmah, Zoey Rahman dan Kak Girl yang datang jauh-jauh tadi sepatutnya mereka join sekali menari tapi berlaku perkara tidak dirancang dan tak tahu apa motif mereka aibkan saya," tulis Aliff di laman tersebut.

Difahamkan penyanyi lagu Bobo Dimana ini bakal mengadakan satu sesi sidang media bagi menjelaskan situasi sebenar dalam masa terdekat.

Aliff Syukri , Gegar Vaganza

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

Kematian kanggaru 'sado' ditangisi