suria

Ismail Izzani harap dapat harumkan nama Malaysia di MTV EMA 2018

Ismail harap peminat mengundinya bagi melayakkannya mewakili Malaysia di MTV EMA 2018.

PENYANYI Ismail Izzani mengakui bukan mudah untuk menjadi salah seorang calon untuk Social Wildcard menerusi Anugerah MTV EMA 2018 (Europe Music Award).

Ismail, 18, berkata dia berharap dapat mewakili penyanyi generasinya dan mengharumkan nama Malaysia ke peringkat seterusnya.

"Alhamdulillah, dapat tercalon pun saya rasa bersyukur. Saya baru 18 tahun dan bukan mudah untuk menjadi salah seorang calon dalam kategori itu.

"Kalau lihat semua calon pun hebat dari Indonesia, Singapura dan Thailand. Sebab itu saya ambil perkara ini sangat serius.

"Cabaran itu sangat besar tapi Insya-Allah saya akan buat yang terbaik untuk Malaysia dan diri sendiri," kata Ismail kepada mStar Online.


Peminat boleh mengundi Ismail menerusi laman rasmi Twitter MTV .

Ismail antara penyanyi muda yang tercalon dalam Social Wildcard untuk melayakkan diri bersaing dalam katerogi Best Southeast Asia Act.

Peminat penyanyi lagu Luar Biasa itu boleh mengundi menerusi laman Twitter rasmi MTV dengan hanya ulang kicau (retweet) fotonya.

Dalam pada itu, Ismail beranggapan pencalonannya itu bukan disebabkan dia seorang penyanyi yang terbaik dalam kalangan rakan-rakan seperjuangan namun ia adalah rezeki.

"Bagi saya, pencalonan ini adalah rezeki. Bukan nak kata saya penyanyi yang terbaik dalam golongan muda.

Ismail berharap semua orang boleh mengundinya.

"Kita semua termasuk rakan-rakan saya banyak belajar dalam industri seni. Saya harap semua orang boleh terima dan undi saya.

"Niat saya hanya satu iaitu mahu membawa nama Malaysia ke peringkat yang seterus bagi mewakili golongan belia," ujarnya.

Selain Ismail, kumpulan GAC (Gamaliel Audrey Cantika) dari Indonesia, penyanyi Twopee Southside (Thailand) dan Yung Raja (Singapura) turut tercalon dalam pencalonan awal itu.

Anugerah muzik antarabangsa itu akan diadakan di Bizkaia Arena in Barakaldo, Basque Country, Sepanyol pada 4 November depan.

Ismail Izzani

Artikel Lain