suria

Bagai mimpi, Liza Hanim tak sangka angan-angan jadi realiti selepas 21 tahun

Liza Hanim sudah melakukan persediaan untuk Konsert Semalam Di Malaya. Foto: IZZRAFIQ ALIAS

SETELAH 21 tahun bergelar penyanyi, Liza Hanim menganggap peluang untuk menjayakan persembahan dengan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) Kuala Lumpur, ibarat satu mimpi indah.

Liza, 38, berkata dia tidak menyangka bermula daripada perbualan kosong akhirnya impian itu dapat direalisasikan.

"Semasa menghadiri meeting untuk konsert di Singapura, saya ada berbual kosong mengenai impian untuk beraksi bersama MPO.

"Tak sangka pula rezeki apabila ada yang menawarkan peluang tersebut. Setelah 21 tahun jadi penyanyi, baru sekarang ia tiba," katanya kepada mStar Online.

Liza dan Aishah teruja menjayakan konsert Semalam Di Malaya, hujung minggu ini.

Konsert Semalam Di Malaya yang diadakan sempena Hari Malaysia itu bakal berlangsung pada 15 dan 16 September ini.

Dalam konsert tersebut, Liza turut berkongsi pentas dengan tiga penyanyi hebat yang lain iaitu Aishah, Musly Ramlee dan Rachel Guerzo Trio.

Sementara itu, penyanyi lagu Gelisah Mimpi ini memberitahu peluang menjayakan persembahan bersama MPO merupakan satu bentuk penghormatan yang diberikan kepadanya sebagai penyanyi.

LIZA Hanim (kiri), Aishah, Rachel Guerzo dan Ahmad Muriz Che Ros ketika hadir pada sidang media Konsert MPO di Hotel Traders.

"Sejujurnya, saya memang ternanti-nantikan saat ini kerana kita sendiri tahu kualiti persembahan daripada MPO kerana apabila berada di atas pentas itu memang feel dia lain macam.

"Ini merupakan satu penghormatan dan kalau tanya penyanyi lain pun, mereka mengimpikan peluang ini.

"Apa-apa pun saya bersyukur kerana mereka melihat dan menghargai bakat saya setelah 21 tahun berada dalam industri seni suara," ujarnya.

Liza dijangka mempersembahkan beberapa lagu seperti Semalam di Malaya, Sayang di Sayang dan Jelingan Manja pada siri konsert itu.

Liza Hanim

Artikel Berikut

Artikel Lain