PELAKON Ummi Nazeera mendedahkan dia mengalami masalah placenta previa jenis dua hingga menyebabkan berlaku pendarahan awal sebaik sambutan perayaan Aidilfitri lalu. Ummi atau nama sebenarnya Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainal Abidin, 28, berkata dia menangis apabila kejadian melibatkan masalah urinya berlaku kerana terfikir sudah kehilangan anak sulungnya itu. "Assalammualaikum puteriku, Ayra Aneesah Mohd Izzar. Alhamdulillah Allah memudahkan mummy untuk mengandung tetapi perjalanan untuk mengandungkan kamu sangat mencabar untuk kami. "Mummy ada placenta previa jenis dua dan pendarahan mula berlaku selepas sambutan Aidilfitri lalu. "Saya menangis apabila ia terjadi. Ingatkan mummy sudah kehilangan kamu. Alhamdulillah, semuanya baik," kata Ummi. Ummi berkongsi detik cemas ketika sedang hamil puteri sulungnya itu di laman sosialnya. Ummi kongsi detik cemas ketika sedang hamil. Kata Ummi, dia akan mencuba segala yang mampu terutama sentiasa berdoa dan bersujud serta berehat untuk menjaga kandungannya. Namun, beliau diduga lagi apabila pendarahan berlaku sebanyak tiga kali dan terlalu banyak sehingga doktor memutuskan untuk melakukan pembedahan. Biarpun Ummi ketika itu berasa takut kerana hampir hilang pertimbangan namun suaminya, Dr Mohd Izzar Anwari Abdul Khan sentiasa memberi semangat padanya. "Mummy banyak berehat dan keluar rumah sekali seminggu. Mummy akan cuba segala yang boleh. Banyak berdoa dan bersujud. "Malangnya, ia berlaku buat kali kedua dan ketiga. Pendarahan yang berlaku terlalu banyak sehingga doktor memutuskan untuk mummy jalani pembedahan. "Mummy takut sangat dan hampir hilang pertimbangan. Alhamdulillah, daddy tenangkan dan meminta mummy supaya usah nangis dan beristighfar. Suami Ummi, Mohd Izzar sentiasa memberi semangat kepadanya. "Daddy cakap sambil meletakkan kepala di dahi mummy dan memegang tangan mummy dengan kuat. Mummy tahu maksudnya mendalam, hanya Allah yang boleh bantu," ujarnya. Dalam pada itu, pelakon filem Gol & Gincu 2 itu meluahkan rasa syukur selepas dia selamat menjalani pembedahan dan melahirkan bayinya tanpa komplikasi. "Alhamdulillah, pembedahan berlangsung dengan baik tanpa komplikasi. Syukur ya Allah. "Masa masuk bilik pembedahan, muka daddy masam sangat, masa keluar dari bilik itu, muka daddy terus senyum macam kerang busuk. "Daddy beritahu dia sudah jumpa anak... Alhamdulillah. Ketika mummy melihat kamu, Mummy sangat gembira. Kamu sempurna," katanya. Pelakon yang popular menerusi drama rantaian, Patahnya Sebelah Sayap itu mendirikan rumah tangga dengan Mohd Izzar, 31, di ibu negara, pada 23 Julai tahun lalu. Pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata perempuan bernama Ayra Aneesah Mohd Izzar pada 22 Ogos lalu.