Lima buah lagu runut bunyi untuk 'Nur 2' - Hiburan | mStar

Lima buah lagu runut bunyi untuk 'Nur 2'

Amylea dan Kaer kembali mencipta nama menerusi lagu Tak Pernah Hilang. Foto Instagram @amyleaazizan & @aqoimran

PENYANYI dan komposer Amylea Azizan memberitahu dia bersama Kaer sekali lagi diberi kepercayaan untuk menghasilkan lagu runut bunyi untuk drama bersiri popular Nur 2 yang bakal menjalani penggambaran pada November depan.

Apa lebih menarik kata Amylea, dia bersama beberapa rakan komposer akan menggubah lima buah lagu untuk drama itu sebagai menampilkan kelainan.

"Alhamdulillah sekali lagi diberi kepercayaan oleh pihak produksi untuk menggubah lagu untuk drama bersiri Nur 2 yang dijangka menemui penonton pada awal tahun hadapan.

"Kebiasaannya hanya sebuah lagu sahaja dijadikan sebagai runut bunyi untuk drama jadi kita ingin pecahkan tradisi itu dengan menampilkan lima buah lagu.

"Sebenarnya konsep ini sudah biasa untuk drama-drama Korea Selatan dan saya fikir apa salahnya buat lebih daripada satu sebagai bonus kepada penonton," katanya.

Pasangan ini akan sekali lagi berduet menerusi lagu untuk drama bersiri Nur 2.

Amylea ditemui pada Showcase Muzik-Muzik 33 yang diadakan di IOI City Mall, Putrajaya di sini, Sabtu.

Menerusi drama Nur, lagu nyanyiannya dan Kaer, Tak Pernah Hilang menjadi siulan peminat dan setakat ini sudah pun mendapat tontonan sebanyak enam juta di Youtube sejak ia dilancarkan pada April lalu.

Dalam pada itu, Amylea berkata, untuk lagu runut bunyi itu nanti masih akan menampilkan lagu duet bersama Kaer manakala selebihnya nyanyian penyanyi lain.

Katanya lagi, kesemua lima buah lagu itu akan mendapat sentuhannya daripada segi lirik selain bertindak sebagai penggubah lagu bersama beberapa komposer lain.

"Buat masa sekarang saya tidak boleh beri butiran lanjut mengenai siapakah artis yang akan menyanyikan lagu untuk drama itu nanti! Itu kena tunggu.

"Tetapi apa yang boleh saya katakan akan ada lagu duet bersama Kaer untuk drama itu nanti," jelasnya.

Sementara itu, Amylea memberitahu dia sedar terhadap harapan penonton setia dan peminat terhadapnya dalam menghasilkan lagu runut bunyi setanding dengan Tak Pernah Hilang.

Amylea dan Kaer akan mengadakan showcase pada 26 Ogos ini. 

Kata Amylea, harapan diletakkan itu sebenarnya menjadi pemangkin semangat dalam melakukan yang terbaik kerana dia sukakan cabaran.

"Saya sebenarnya suka orang meletakkan harapan apabila sesuatu tanggungjawab diberikan kerana ketika itulah saya akan lakukan yang terbaik.

"Jika saya gagal atau berjaya pun, pada akhirnya saya tahu sudah melakukan sehabis baik terhadap kepercayaan diberikan oleh orang kepada saya," katanya.

Dalam perkembangan lain, Amylea berkata, dia teruja bakal mengadakah sebuah showcase bersama Kaer di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur pada 26 Ogos ini.

Kata Amylea, mereka berdua bakal mendendangkan sebanyak 16 buah lagu termasuk segmen duet.

Amylea , Nur 2

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

Sultan Ahmad Shah mangkat