suria

10 artis muda berentap dalam pertandingan realiti baharu 'Big Stage'

Antara para artis dan mereka yang terlibat dalam pertandingan realiti baharu iaitu 'Big Stage'.

KUALA LUMPUR: Buat pertama kali sebuah pertandingan nyanyian berkonsepkan realiti iaitu Big Stage yang menampilkan bakat muda seangkatan generasi alaf baharu. 

Seramai 10 bintang yang  kini popular dengan jolokan ‘Budak Baru Nak Up’ (BBNU) yang terdiri daripada lima peserta lelaki dan wanita bakal berentap di satu pentas yang sama. 

Barisan penyanyi terdiri daripada Ariff Bahran, Afieq Syazwan, Andi Bernadee, Syafiq Farhain dan Tajul. 

Manakala peserta wanita pula iaitu Baby Shima, Fara Hezel, Sarah Suhairi, Sissy Imann dan Wani Kayrie.

Menurut Ketua Strategi Kandungan dan Inovasi Astro, Namanzee Harris, program realiti ini memberi kebebasan kepada penyanyi muda yang mempunyai bakat namun tidak berpeluang untuk ke peringkat lebih tinggi.

“Persada seni hiburan sedang mengalami perubahan yang ketara secara global. Percaya dengan istilah ‘tiada yang baharu tiada yang lama", Astro menyambut baik perkembangan itu.

Alif  Satar (dari kiri) dan Sherry sebagai pengacara utama manakala Eyra Hazali dan Harris Annuar ialah pengacara program ‘Live Plus Big Stage’.

“Menerusi Big Stage, kami menyediakan platform kepada golongan BBNU yang memiliki daya juang tinggi untuk membawa karya mereka yang selama ini cuma dipertontonkan menerusi alam maya ke alam realiti sebenar.

“Program ini memberi mereka kebebasan untuk mencari sisi kreatif yang tersendiri agar mampu melonjakkan nilai jenama mereka ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya kepada mStar Online.

Rangkaian program itu turut menampilkan dua ikon muzik tersohor tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Faizal Tahir yang dilantik sebagai juri tetap untuk musim pertama.

Sementara itu, seorang juri jemputan profesional juga akan diundang khas secara bergilir-gilir pada setiap minggu untuk turut serta mengadili persembahan.

Manakala dua pengaraca popular iaitu Alif Satar dan Sherry Al Hadad diberi tanggungjawab untuk mengemudi pentas utama Big Stage.

Juara Big Stage akan memenangi wang tunai RM100,000 beserta trofi sumbangan Astro dan pemenang tempat kedua serta ketiga pula bakal membawa pulang wang RM50,000 dan RM25,000 serta trofi.

Program Big Stage akan bermula pada 5 Ogos depan pukul 9 malam menerusi saluran Astro Ria dan Ria HD.

Big Stage

Artikel Lain