“Saya sakit teruk, Wak Lid sekeluarga bantu” - Aishah imbau memori bersama Khalid Salleh - Hiburan | mStar

“Saya sakit teruk, Wak Lid sekeluarga bantu” - Aishah imbau memori bersama Khalid Salleh

Aishah bersama keluarga sempat menziarahi Allahyarham Khalid Salleh pada Aidilfitri lalu.

PEMERGIAN aktor dan aktivis teater Khalid Salleh pada Isnin cukup meninggalkan kesan dalam kalangan rakan-rakan industri hiburan tempatan terutama yang sering bekerja rapat dengan Allahyarham.

Namun berlainan pula dengan penyanyi Aishah yang mendedahkan sisi lain seorang Khalid Salleh semasa hayatnya yang disifatkan sebagai seorang lelaki budiman dan suka membantu.

Cerita Aishah di Instagram miliknya, Allahyarham sekeluarga sering memberi bantuan kepadanya ketika dia masih bergelar ibu tunggal malah penyanyi lagu Janji Manismu itu akan merujuk kepada arwah sekiranya berlaku sesuatu masalah.

"Arwah sekeluarga terlalu banyak membantu saya semasa bergelar ibu tunggal, kalau sakit pening, mereka yang kami beritahu dahulu.

"Kalau anak-anak saya nakal maka mereka akan didisiplinkan oleh Wak Lid dan pernah satu ketika saya sakit teruk, Wak Lid sekeluarga datang membantu.

Perkongsian Aishah di Instagram menyentuh hati.

"Semoga segala jasa dan kebaikannya akan Allah balas dengan sebaik-baik pembalasan. Al-Fatihah," tulisnya.

Khalid menghembuskan nafas terakhirnya di Pusat Perubatan Ampang Puteri dekat sini kira-kira pukul 3.20 petang pada usia 70 tahun.

Anak Allahyarham, Israr Khalid memberitahu bapanya mengalami kesukaran bernafas sejak dua hari lalu dan arwah dikejarkan ke hospital pagi Isnin sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan.

Mengimbau kenangan bersama Khalid, Aishah memberitahu pengalaman berlakon dalam teater tulisannya Teh Tarik cukup meninggalkan kesan mendalam kepada dirinya.

Kata Aishah, menerusi teater itulah dia banyak menimba ilmu selain dan belajar mengenai erti rendah diri dan persahabatan.

Khalid meninggal dunia pada petang Isnin.

"Ditakdirkan saya diberitahu oleh isteri arwah dia juga meminati suara saya, hinggakan pernah diceritakan oleh Kak Midah, isteri arwah dia gantung poster saya di tempat dia lepak.

"Mereka juga tinggal berhampiran dengan rumah kami, selalu bertembung dengan arwah dan isteri di tempat makan. Setiap kali jumpa saya akan tanya; 'Wak bila nak ajak saya berlakon teater?

"Hinggalah satu hari beliau tawarkan saya untuk uji bakat untuk sebuah teater tulisannya, Teh Tarik.

"Pengalaman teater itu sangat berharga bagi saya, makan nasi lemak atas lantai waktu rehat, tanpa mengira siapa anda, latihan berminggu-minggu merapatkan silaturahim dalam kalangan kami tak ubah seperti keluarga sendiri malah lebih lagi," ujarnya.

Menerusi perkongsian berlainan di Instagram, Aishah memuat naik gambarnya bersama Khalid ketika menziarahi pelakon itu pada hari raya Aidilfitri lalu.

Khalid bersama pengarah filem Jogho, U-Wei Shaari (tengah) dan Normah Damanhuri pada acara Festival Filem Malaysia 1999.

Penyanyi lagu Janji Manismu itu juga turut memuat naik gambarnya bersama Khalid ketika menziarahi pelakon itu pada hari raya Aidfilfitri lalu.

Sepanjang kariernya dalam bidang seni, Khalid pernah menerima trofi Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik ke-43 di Taipei, Taiwan pada 1998 menerusi filem Jogho.

Allahyarham adalah pelakon lelaki kedua menerima trofi tersebut selepas Seniman Allayharham Tan Sri P. Ramlee menerusi filem Anakku Sazali pada 1957 di Tokyo, Jepun.

Khalid sekali lagi diberi pengiktirafan menerusi trofi sama menerusi Festival Filem Malaysia 1999.

Beliau juga pernah menulis buku Melayu Hilang di Dunia selain popular menerusi filem seperti Azizah The Legend dan Hanyut.

Khalid Salleh , Aishah

Artikel Berkaitan

Artikel Lain