suria

Cubaan Anzalna lukis potret Tun M

Anzalna mencuba untuk melukis potret Tun M atas permintaan peminat. Foto: LOW LAY PHON.

PELAKON Anzalna mencuba bakatnya melakar potret perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad namun lukisan itu belum siap sepenuhnya.

Anzalna atau nama sebenarnya Nur Anzalna Md Nasir, 30, berkata biarpun dia tidak gemar melukis potret namun dia melakukannya juga atas permintaan peminat.

Tambahan pula, buat masa ini Anzalna juga dalam proses menyiapkan sebuah lukisan Kaabah.

"Ada yang minta saya lukis potret Tun M. Tapi kalau ikutkan sebenarnya saya kurang gemar lukis potret dan lebih kepada 'painting'.

"Tapi saya ada cuba dan jadi jugalah wajah Tun namun lukisan itu belum sempurna lagi.

Anzalna dalam proses menyiapkan lukisan Kaabah.

"Buat masa sekarang, saya juga sedang dalam proses nak siapkan lukisan Kaabah," kata Anzalna kepada mStar Online.

Anzalna ditemui ketika Majlis Tayangan Perdana Program Raya Astro 2018 Meriah Bersama di Hotel Majestic Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selain itu, Anzalna telah menjual sebuah lukisan permandangan menara Eiffel demi melakukan kerja amal walaupun pada awalnya dia berasa berat hati.

Kata Anzalna, lukisan permandangan itu diilhamkan daripada memori ketika dia pergi bercuti bersama suaminya.

Anzalna masih aktif berlakon dan menganggap melukis itu sebagai hobi.

"Saya baru jual lukisan Eiffel Tower, sebenarnya saya berat hati nak jual sebab pemandangan itu adalah kenangan yang saya nikmati ketika saya pergi bercuti.

"Tapi saya setuju untuk jual sebab fikirkan misi amal saya," ujarnya.

Menurut Anzalna, hasil jualan lukisannya akan didermakan kepada pesakit kanak-kanak yang mengidap kanser dan gelandangan.

Dalam pada itu, Anzalna menegaskan dia tidak akan meninggalkan dunia lakonan dan menganggap melukis itu sebagai hobi di masa lapang.

"Melukis ini hanya hobi di masa lapang dan saya masih tetap aktif dengan kerjaya lakonan.

"Cuma saya selektif dan menerima tawaran jika betul-betul sesuai dan naskahnya bagus," katanya.

Mengenai perkembangan lakonan, Anzalna bakal muncul menerusi telefilem Renyai Takbir Raya yang akan ditayangkan pada Aidilfitri ini.

Anzalna Nasir

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain