suria

Individu cakap buruk itu mahu raih perhatian - Sherry Ibrahim

Sherry Ibrahim tolak cara viral lariskan produk.

PELAKON Sherry Ibrahim memberitahu dia berdepan dengan pelbagai cabaran sejak menceburi bidang perniagaan kosmetik tiga tahun lalu.

Pengasas Deeja Cosmetic ini berkata, salah satunya apabila produk tersebut ditularkan oleh individu tidak bertanggungjawab dengan niat mencari perhatian.

"Ada terjadi baru-baru ini seorang individu itu bercakap buruk tentang produk saya di laman sosial. Apabila kami selidik dia hanya mahu mendapatkan perhatian sahaja.

"Saya hantar pekerja ke Kedah untuk bertemu dengan individu itu dan menyelesaikan masalah tersebut dan ada rakan-rakannya mahu saya sendiri berjumpa dengan mereka. 

"Selepas laman sosialnya mendapat perhatian, dia pula keluar produk sendiri," ujarnya kepada mStar Online.


Sherry Ibrahim berdepan cabaran. Foto SAM THAM

Sherry berkata, dia tidak memandang ringan terhadap setiap aduan dan perkara yang melibatkan produk berkenaan.

Sementara itu, pelakon drama Teduhan Kasih ini berkata, dia terpaksa memperlahankan kerjaya lakonan demi memberi perhatian terhadap bisnes kecantikan itu.

"Buat masa ini saya ambil keputusan untuk memperlahankan dahulu bidang lakonan kerana fokus utama adalah kepada bisnes.

"Jika ada tawaran yang bersesuaian dengan jadual mungkin saya akan pertimbangkan," ujarnya.

Dalam pada itu, ditanya tentang penggunaan gimik dan kesan tular dalam melariskan produk, Sherry berkata, dia tidak berminat ke arah itu.

Katanya, dia masih mengutamakan kualiti produk berkenaan berbanding kuasa viral yang sering digunakan sebagai strategi pemasaran masa kini.

"Tidak perlu buat perkara bukan-bukan untuk viral kerana saya percaya orang akan beli sesuatu produk yang bagus," ujarnya yang baharu melancarkan jenama tudung sendiri iaitu Sherry Scarves.

Sherry Ibrahim

Artikel Lain