suria

‘Mata Air Di Syurga’ Maksud Nama Anak Ainan Tasneem

Ainan dan Ariffudin berkahwin pada Januari tahun lalu.

SELEPAS seminggu melahirkan cahaya mata sulungnya, penyanyi Ainan Tasneem memilih nama Ainan Salsabiela untuk bayi perempuannya yang dilahirkan pada 2 Mac lalu.

Menerusi Instagram miliknya, Ainan memberitahu dia memilih nama itu kerana ia membawa maksud mata air di syurga selain ia mempunyai maksud hampir sama dengan nama ibunya.

"Assalamualaikum semua. Nama saya Ainan Salsabiela Binti Mohamad Ariffudin. Maksud nama saya 'Mata Air di Syurga', sama maksud lebih kurang dengan nama Ummi saya. Doakan saya menjadi anak yang solehah ya semua," tulisnya.

Menjelaskan maksud sebenar nama anaknya itu, Ainan berkata, dia memilih nama Salsabiela kerana ia adalah mata air di syurga yang akan diberikan kepada orang yang mendekatkan diri kepada Allah (muqarrabin), sedang para abrar (orang yang berbuat baik), maka Allah memberi mereka air yang diberi campuran kafur (air dingin yang baunya wangi) dan zanzabil (air halia yang segar dan wangi).

Ainan menimang cahaya mata perempuan pada 2 Mac lalu.

Sebelum itu, Ainan mendedahkan dia selamat bersalin secara normal dengan berat 2.91 kilogram di sebuah hospital di ibu negara.

Penyanyi lagu 150 juta itu berkahwin dengan seorang jurutera, Mohamad Ariffudin Mohammad Swaimi pada 7 Januari tahun lalu.

"Syukur pada Allah di atas nikmat kelahiran yg diberikan ini, Alhamdulillah Ainan telah selamat melahirkan seorang bayi perempuan pada pagi hari jumaat yang mulia bertarikh 2 Mac lalu.

"Ainan bersalin secara normal dan bayi selamat keluar dari rahim ini tepat pada pukul 7.12 pagi tadi dalam keadaan yang sihat dengan berat 2.91 kilogram.

"Terima kasih diatas berkat doa kalian semua, proses kelahiran ini berjalan dengan begitu mudah sekali. Semoga anak ini akan menjadi anak yang solehah dan penyejuk mata kedua Ummi dan Abuyanya, Aamiin Allahumma Aamiin," tulisnya.

Ainan Tasneem

Artikel Lain