suria

Mahu Bersara Bergelar Penyanyi, Altimet Jadi Pelakon Pula

Altimet bakal bersara daripada bidang nyanyian pada November depan. Foto SHAARI CHE MAT

PENYANYI rap Altimet tidak menolak akan bergiat aktif dalam bidang lakonan selepas dia memutuskan untuk bersara daripada bidang nyanyian pada November depan.

Altimet atau Ahmad Abdul Rahman, 40, berkata, keputusan untuk bersara bukan bererti dia meninggalkan dunia seni sepenuhnya dan masih terbuka kepada perkara lain termasuk lakonan.

"Sebelum ini saya ada beberapa kali berlakon tetapi watak diberikan tidaklah besar namun selepas ini jika ada yang ingin menawarkan saya berlakon saya tidak menolak jika bersesuaian.

"Saya cuma bersara daripada menyanyi dan buat album tetapi saya masih dalam bidang seni untuk perkara lain," katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Altimet berkata, penglibatannya dalam teater muzikal Ola Bola di Istana Budaya yang baru berkahir semalam (Ahad) banyak membuka matanya tentang lakonan.

Kata Altimet, lakonan pementasan teater bukan mudah seperti yang disangkakan namun ia memberi prespektif berbeza kepada dirinya selain menyifatkan ia antara pengalaman mencabar dalam kariernya.

Altimet mahu serius dalam bidang lakonan.

"Mungkin watak saya dalam Ola Bola tidak besar tetapi impak untuk diri saya sendiri cukup besar kerana banyak ilmu yang saya pelajari untuk menjadi pelakon yang baik.

"Teater berbeza daripada filem atau televisyen tetapi ia memberi kepuasan kepada saya dan berharap dapat melibatkan diri dalam lebih banyak projek teater selepas ini," katanya.

Bercakap mengenai watak impiannya, Altimet berkata, seperti mana kebanyakan pelakon lain, dia juga berharap dapat diberikan peranan mencabar dan berbeza daripada kebiasaan.

Malah kata Altimet, dia berminat untuk terlibat dalam filem atau drama genre aksi sekiranya diberi peluang pada masa hadapan.

Baharu sahaja melancarkan single terbaharunya, Mambang, Altimet berkata, dia akan melancarkan album terbaharunya yang berjudul Air pada akhir Mac ini.

Altimet, Mambang

Artikel Lain