suria

Ditegur Nak 'Katok' Anak, Respons Syatilla Buat Netizen Terdiam

Sam dan Syatilla bersama anak kesayangan mereka, Syeriv Samheizy. Foto Instagram @syerivsamheizy & @samtilla

PENGGUNAAN perkataan 'katok' dalam loghat utara yang membawa maksud pukul oleh pelakon Syatilla Melvin menerusi kapsyen foto anak lelakinya, Syeriv Samheizy mengundang perdebatan dalam kalangan pengikut di Instagram.

Salah seorang pengikut Instagram @syerivsamheizy mendakwa Syatilla sering menggunakan bahasa kasar terhadap anaknya dan bimbang ia akan menjadi kebiasaan.

Kata individu itu, dia malu membaca kapsyen ditulis aktres itu kerana tidak pernah mendengar masyarakat utara bercakap kasar seperti dilakukan Syatilla.

"Maaf ya sis, saya dok perhati selalu cakap kasar dengan anak. Sis akan terbiasa nanti dan anak-anak akan ikut apa yang mak bapa dia cakap atau buat.

"Serius saya sedih dan malu setiap kali baca kapsyen sis. Saya pun orang Kedah, Pulau Pinang tapi tak pernah saya tengok atau dengar ahli keluarga saya cakap kasar pelik-pelik macam ini.

Syatilla sering menggunakan loghat utara dalam kapsyen di Instagram anaknya.

Dari bahasa dan penulisan kita, orang boleh tahu kita macam mana... semuanya bermula dari rumah belum terlambat untuk perbetulkan. Maaf sekali lagi," tulisnya.

Enggan terus disalah erti, Syatilla membalas komen tersebut dan meminta agar tidak membuat perbandingan di antara cara dia dibesarkan kerana masing-masing mempunyai cara tersendiri.

Bagaimanapun kata Syatilla, dia berterima kasih kerana teguran tersebut namun memilih untuk menjadi diri sendiri dan bukannya mempamerkan apa yang ingin dilihat oleh orang lain.

"Salam. Awak tak boleh samakan keluarga awak dengan famili saya. Keluarga saya dari zaman tok nenek semua macam saya tapi Alhamdulillah masing-masing membesar berjaya dan jadi manusia.

Aksi comel Syeriv sering mendapat perhatian peminat.

"Tiada seorang yang tak jadi manusia. Terima kasih kerana tegur kami tapi tiada sebab untuk kami nak jadi orang lain selain diri sendiri.

"Hampa jangan la baca kapsyen kami kalau sedih dan malu. Kami risau tak ada siapa nak datang pujuk," tulisnya.

Menerusi kapsyen gambar tersebut Syatilla menulis; Hampa tengok sat muka mat yip, eeee nak katok!!!!

Komen Syatilla itu turut mendapat reaksi pengikutnya yang rata-rata merasakan pelakon itu tidak melakukan sebarang kesalahan dan cuma bergurau.

Syeriv mempunyai 500,000 pengikut di Instagram.

Malah ramai menyifatkan pengunaan loghat utara menerusi kapsyen sebagai kelakar selain dapat mempelajari perkataan baharu bagi pengikut yang bukan bersasal dari negeri di sebelah utara.

"Biasa la tu kita orang utara memang cakapa macam ini... so yang tak duduk belah utara ni mereka tak paham. Dengan baca tak sama bila kita bercakap.

"Kapsyen gurau kasar tetapi itu bukan bermakna kita kasar dengan budak. Cuma nak menggambarkan perasaan geram sebab comel sangat.

"Bagi saya kapsyen Syatilla comel dan kelakar. Setiap kali baca mesti ketawa. Ini semuanya bermula dari hati. Rileks," tulisnya pengikutnya.

Syeriv Samheizy, Syatilla Melvin

Artikel Lain