suria

Mira Filzah Umum 'Berehat' Guna Media Sosial, Apa Sebabnya?

Mira menjelaskan keputusan untuk berehat dari media sosial tidak ada kena mengena dengan netizen. Foto SHAARI CHEMAT.

PELAKON Mira Filzah mengejutkan peminatnya apabila mengambil keputusan untuk berehat daripada media sosial buat sementara waktu.

Pengumuman tersebut dibuat Mira atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badioezaman, 25, itu pada malam Khamis menerusi Twitter miliknya.

"Saya rasa, saya akan berehat dari media sosial untuk sementara waktu," tulis Mira.

Menurut pengacara program Nona ini, keputusan itu dibuat bukan kerana tidak tahan dengan komen dan kritikan negatif netizen terhadap dirinya.

Mira umum berehat dari media sosial.

Mira berkata, dia sendiri tidak pernah mengambil kisah mengenai kritikan atau kecaman netizen sepanjang berada dalam industri seni.

Jelas Mira lagi, dia menjelaskan keputusannya itu kerana tidak mahu peminat tertanya-tanya jika tidak mengemas kini sebarang perkembangan terbaharunya di media sosial.

"Tak ada kena mengena dengan mana-mana netizen, komen-komen negatif atau akaun palsu pun. Lagipun dari dulu ada dah semua tu dan saya tak pernah kisah.

"Saya cuma beritahu saya nak berehat dari media sosial supaya awak semua nanti tak tertanya-tanya kalau tiada perkembangan. Itu sahaja," katanya.

Rata-rata pengikutnya meluahkan rasa sedih dengan berita tersebut dan berharap selebriti kesayangan mereka tidak mengambil masa terlalu lama mendiamkan diri.

Peminat berharap Mira tidak ambil masa yang terlalu lama untuk kembali aktif di media sosial.

Bagaimanapun, mereka akur dan menghormati keputusan dibuat aktres itu dan akan sentiasa menyokongnya.

"Saya hormat dengan keputusan kak Mira tapi janji jangan terlalu lama sebab saya akan merindui awak. Sentiasa sokong apa yang awak buat dan saya sayang awak.

"Tapi tolong jangan lama sangat berehat @MFMiraFilzah sebab kami yang jauh hanya harap IG dan Twitter nak borak dengan Mira.

"Baiklah tapi jangan lama-lama nanti kita semua rindu @MFMiraFilzah," komen beberapa orang pengikut di Twitternya.

Mira Filzah

Artikel Sebelum

Artikel Lain