suria

Bukan Mahu Takutkan Masyarakat – Bob Ringgo

Segmen terbaru yang dikendali Bob hanya untuk memberi pengajaran dan pengetahuan umum pada penontonnya. Foto Instagram: @suriamalaysia.

PETALING JAYA: Penyampai radio Suria FM, Bob Ringgo menjelaskan segmen terbaru Jangan Tutup Lampu yang dikendalinya bukan bertujuan untuk menakut-nakutkan sesiapa.

Bob, 42, berkata segmen tersebut menghimpunkan kisah-kisah misteri, paranormal dan mistik yang dikongsikan pendengar untuk dijadikan sebagai pengajaran dan pengetahuan umum.

"Idea penerbitan siri ini adalah daripada ratusan perkongsian daripada pendengar dan penerimaan pendengar terhadap segmen Jangan Tutup Lampu.

"Ia bukan bertujuan untuk menakut-nakutkan masyarakat tetapi sebagai pengajaran dan pengetahuan umum sahaja," kata Bob.

Antara babak seram yang dilakonkan semula. Foto: SuriaFM.

Biarpun ada segelintir masyarakat yang tidak percaya dengan kisah hantu dan seumpaannya namun jangan terlalu takut atau terlalu takbur dan berani ketika berhadapan dengan kejadian tersebut.

"Mungkin ada yang tidak percaya kisah hantu tapi peringatan saya melalui rancangan ini, kita tidak boleh terlalu takut, takbur dan berani kala berhadapan fenomena seperti itu," ujarnya.

Dalam pada itu, menurut pengarah program tersebut iaitu Aidilfitri Mohamed Yunus, bukan perkara yang mudah untuk mereka menghasilkan kisah seram dalam bentuk visual.

Malah, dia berharap cereka pendek bersiri ini dapat diteruskan penerbitannya sehingga kesemua mitos hantu dapat diterjemahkan dalam bentuk hiburan pula.

Bukan mudah untuk terjemahkan kisah hantu kepada bentuk visual.

"Jangan Tutup Lampu adalah satu bentuk visual yang secara tidak langsung memperkenalkan kisah-kisah mitos hantu di negara ini.

"Saya berharap cereka pendek bersiri ini dilanjutkan penerbitannya sehingga kesemua mitos hantu dapat diterjemahkan dalam bentuk hiburan," kata Aidilfitri.

Dia juga telah mengkaji pelbagai mitos mengenai entiti termasuk bagaimana kewujudan tersebut sehingga bagi mendapatkan jalan cerita dan perasaan seram.

Segmen yang mengupas fenomena paranormal dan alam ghaib yang berlaku pada zaman kini itu mula dimuat naik pada 7 Disember tahun lalu.

Sebanyak lapan episod Jangan Tutup Lampu menanti penggemar karya bergenre seram dan nantikan episod terbaru setiap hari Khamis pada jam 9 malam di laman sesawang suria.my.

Bob Ringgo, Suria FM

Artikel Sebelum

Rody Tertunggu-Tunggu... Mana Lan?

Artikel Berikut

Janna Nick, Ajak Hos Baru Melodi

Artikel Berkaitan

Artikel Lain