suria

Nina Nadira Bukan Bervokal Tinggi

Nina hampir berputus asa untuk meneruskan karier dalam nyanyian. Foto Instagram: @ninanadira.

PELAKON Nina Nadira mengakui dia bukan seorang penyanyi yang mempunyai vokal bernada tinggi atau meletakkan nyanyiannya untuk dipertandingkan dalam mana-mana pertandingan.

Nina atau nama sebenarnya Nina Nadira Naharuddin, 25, berkata, pembabitan dia dalam industri muzik hanya untuk memastikan pendengar menghargai muzik yang dibawanya.

Malah, dia juga memilih lagu yang lebih senang untuk didengari dan dapat melakukan persembahan.

"Saya dari dulu lagi tak ada rasa pun ceburi bidang nyanyian ini untuk bertanding. Sejujurnya saya bukan penyanyi yang mempunyai vokal tinggi.

"Tidak sesuai untuk bertanding tapi hanya untuk membuat persembahan. Sebab itu saya pilih lagu yang senang untuk didengari.

"Saya pasti ada pendengar yang akan menghargai muzik yang saya minati dan persembahkan," kata Nina kepada mStar Online.


Nina tampil dengan single terbaru berjudul Si Cantik Aku.

Karier nyanyian Nina bermula apabila dia memasuki program realiti, Akademi Fantasia 2014 namun selepas itu dia tidak mendapat tempat di dalam dunia nyanyian.

Bakat Nina lebih menyerlah dalam bidang pengacaraan dan lakonan membuatkan dia seperti sudah berputus asa untuk meneruskan karier nyanyiannya.

Selepas lebih tiga tahun tidak muncul sebagai penyanyi,  Nina tampil dengan single terbaru berjudul Si Cantik Aku hasil hasil ciptaan bekas pelajar muzik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

"Pada mulanya saya dah malas sebenarnya nak teruskan karier dalam nyanyian. Sebab macam dah mula rasa berputus asalah.

"Tapi bila dengar lagu yang dihantar oleh Paan Jebs, bekas pelajar muzik dari UiTM, itu, rasa macam sesuai dengan suara dan genre lagu yang saya bawa dari dulu," ujarnya.

Barisan pelakon dan pelukis Yazeed yang menjayakan muzik video lagu terbaru Nina. 

Dalam pada masa yang sama, Nina juga menerima tawaran menjadi artis bawah pengurusan LMA Talenthouse.

"Selepas dapat lagu itu, tiba-tiba saya dapat tawaran jadi artis di bawah pengurusan LMA Talenthouse. Segala perjalanan untuk lagu ini berjalan dengan lancar.

"Saya dapat rezeki lagu baru dan syarikat pengurusan dalam masa yang sama," katanya.

Nina berkolaborasi dengan pelukis bernama Yazeed di dalam video muzik lagu tersebut yang sudah dilancarkan di Youtube pada 22 Disember tahun lalu.

Nina Nadira, Si Cantik Aku.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain