suria

Gimik Putus Cinta Berjaya 'Pematah Hati' Jadi Trending

Muzik video Nabila Razali kini trending di Youtube.

PETALING JAYA: Gimik putus cinta penyanyi Nabila Razali bagi mempromosikan muzik video Pematah Hati berjaya apabila ia sudah menduduki tempat ketiga paling ditonton di Youtube hanya selepas 24 jam ia dilancarkan.

Muzik video yang menampilkan pelakon Aedy Ashraf itu mendapat lebih 500,000 tontonan di laman Youtube sejak dilancarkan kira-kira pukul 3 petang Rabu.

Mengulas mengenai kejayaan itu, Nabila berkata, dia tidak menyangka penerimaan baik terhadap muzik video itu daripada peminat dan ia kejayaan manis buat dirinya sepanjang bergelar penyanyi.

Nabila Razali Foto THE STAR S.S KANESEN

Malah penyanyi berusia 25 tahun ini terharu dengan komen-komen positif mengenai hasil muzik video itu yang disifatkan bertaraf antarabangsa.

Nabila berharap angka tontonan muzik video itu akan terus meningkat dan mensasarkan tontonan sebanyak 1 juta dalam masa terdekat.

Nabila turut berterima kasih kepada sokongan peminat terhadap single terbaharunya itu selain memberi komen positif terhadap muzik videonya itu.

Pematah Hati adalah ciptaan sepenuhnya oleh Hael Husaini dan Ezra Kong.

Dalam pada itu, Nabila berkata, muzik video Pematah Hati adalah arahan dua pemuda berasal dari Romania yang menggelarkan diri mereka sebagai Storytellrs.

Cerita Nabila, dia dan pihak pengurusannya bertemu dengan Storytellrs yang kebetulan sedang menggembara di Malaysia sebelum mereka bersetuju bekerjasama menghasilkan muzik video tersebut.

Jelasnya, konsep muzik video berkenaan adalah idea daripada mereka sendiri yang berjaya memberi sentuhan bertaraf antarabangsa dan ia disiapkan hanya dalam tempoh dua minggu.

Ia menjalani penggambaran di beberapa lokasi di ibu negara termasuk di Blues and Bees, The Bee dan Living Space.

Selain Aedy, ia turut menampilkan selebriti dan personaliti Yaya Zahir, Syada Amzah, Adriana Adnan, Tanjung and Wanie, Anis Al Idrus, Dragos Cruceat, Diana Iss, Diana Dancea dan Sergiu Chirau.

Selain Youtube, Pematah Hati kink boleh dimuat turun menerusi platform digital seperti Spotify, iTunes, Apple Music, Joox, Kkbox dan Deezer.

Nabila Razali, Pematah Hati

Artikel Sebelum

“Cukuplah!” - Afifah Nasir

Artikel Berikut

Artikel Lain