suria

Yakin Kerana Ada Pengikut - Prime Domestic

Prime Domestic dianggotai oleh (dari kiri) Ainoll, Hillary Ang, Joe, Aweera dan Gee.

KETIKA nama-nama besar dalam industri tidak berani mengadakan konsert kerana kesukaran mendapat tajaan, lain pula ceritanya dengan kumpulan Prime Domestic yang bakal mengadakan konsert pada bulan hadapan.

Bekas gitaris Wings, Joe yang kini bersama Prime Domestic berkata, masalah mendapatkan tajaan bukanlah satu isu besar kerana ia bergantung kepada kesungguhan seseorang artis atau kumpulan itu untuk mencarinya.

"Isu tajaan konsert ini sudah lama berlanjutan. Memang sukar sebenarnya untuk kita mengadakan konsert.

"Dalam hal ini kita sendiri kena berasa yakin. Sebenarnya ia antara hendak dengan tidak sahaja. Bagi kami, walau apa pun berlaku, persembahan akan tetap diteruskan," ujar Joe kepada mStar Online.

Joe janji persembahan terbaik.

Dia ditemui sewaktu sesi temu bual untuk konsert Public Distortion di Oasis Damansara, baru-baru ini.

Prime Domestic turut dianggotai oleh Aweera (vokalis), Ainoll (dram), Hilary Ang (gitaris) dan Gee (bes).

Menurut Joe, dia yakin dengan ahli kumpulannya yang sudah pun mempunyai pengikut tersendiri sebelum penubuhan kumpulan itu.

"Macam saya dari Wings, Aweera pernah bersama Mojo, Hillary dari Search dan yang lain-lain lagi.

"Jadi, masing-masing sudah ada nama dan pengikut yang bersama dengan kami dari dulu lagi," ujarnya.

Tambahnya, dia yakin konsert itu akan mendapat sambutan memandangkan kumpulan XPDC juga bakal beraksi pada acara berkenaan.

Konsert yang dinamakan sebagai Public Distortion  akan berlangsung pada pukul 9 malam di Oasis Square, Ara Damansara, pada 9 Disember depan.

Prime Domestic ada peminat tersendiri.

Mengulas mengenai pemilihan XPDC, Joe mengakui kumpulan itu sangat berpengalaman dan berada pada kelas yang tersendiri.

"XPDC bukan calang-calang kumpulan, mereka sangat hebat dan sudah lama terkenal di Malaysia.

"Saya pun sudah lama berjuang dalam industri muzik bersama mereka. Jadi, apabila kami bergabung atas satu pentas, ia pastinya sesuatu yang menarik," kata Joe.

Dalam pada itu, Prime Domestic dan XPDC kini sedang giat melakukan persiapan menjelang konsert berkenaan.

Mereka turut menjanjikan beberapa gimik dan kejutan yang akan dipersembahkan kepada penonton nanti.

Tiket dijual dengan harga dari RM68 hingga RM200 dan turut boleh didapati di Rock Corner Mid Valley dan Mega Mall, Victoria Music Station (Amcorp Mall dan Sungei Wang Plaza) dan Hard Rock Cafe Kuala Lumpur.

Prime Domestic

Artikel Sebelum

Izzue Dimarahi Lelaki Tua

Artikel Berikut

Artikel Lain