suria

Wani Kayrie Tidak Gementar Jawab SPM

Wani mahu memberi tumpuan kepada peperiksaan SPM. Foto Instagram: @wanikayrie.

PENYANYI Wani Kayrie tidak berasa gementar menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2017 (SPM) yang sudah bermula pada Isnin lalu.

Wani atau nama sebenarnya Syazwani Abdullah, 17, berkata dia sudah melakukan persiapan awal dengan melakukan banyak latihan tubi.

"Alhamduillah, saya dah selesai melepasi empat kertas peperiksaan sejak SPM bermula pada Isnin.

"Kali ini saya tak rasa gementar macam peperiksaan percubaan terdahulu. Mungkin sebab dah ada persiapan awal.

"Saya banyak melakukan latihan tubi dan mengulang kaji pelajaran. Insya-Allah saya berharap akan dapat straight A's," kata Wani ketika dihubungi mStar Online pada Selasa.

Wani akan aktif semula menyanyi pada bulan Disember depan. 

Wani kini sedang menjalani peperiksaan bagi mata pelajaran Sejarah pada pagi Rabu dan akan tamat peperiksaan pada 30 November ini.

Menurut Wani lagi, dia terpaksa berhenti mengambil sebarang tawaran menyanyi selama dua bulan demi memberi tumpuan pada peperiksaannya.

"Selama dua bulan saya berhenti terima sebarang tawaran menyanyi demi memberi tumpuan sepenuhnya pada peperiksaan SPM.

"Biarpun saya ada lagu baharu tapi saya terpaksa hentikan promosi lagu tersebut," ujarnya.

Wani tidak mahu menyambung pelajaran buat sementara waktu selepas tamat SPM.

Dalam pada itu, Wani memberitahu dia tidak akan menyambung pelajaran selepas tamat SPM disebabkan mahu mencapai impiannya terlebih dahulu.

Penyanyi lagu Aku Suka Kamu ini mahu mengambil kelas bahasa Mandarin dan kembali aktif dalam sukan boling.

"Saya tak terfikir lagi nak sambung belajar sebab nak impian saya tercapai dulu. Nak masuk kelas bahasa Mandarin.

"Nanti boleh cari peluang masuk mana-mana pertandingan di Taiwan atau China. Selain itu, nak aktif semula main boling.

"Saya dah empat bulan berehat dari sukan itu. Insya-Allah saya nak cuba untuk mewakili Malaysia pula," katanya.

Wani mewakili Selangor untuk sukan boling sejak usianya 11 tahun.

Wani Kayrie

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain