suria

Amir (Ukays) Bergantung Lagu Lama

Amir Ukays
BEKAS vokalis kumpulan Ukays iaitu Amir mengakui dia masih bergantung kepada lagu-lagu lamannya ketika membuat persembahan bagi meneruskan kerjaya sebagai penyanyi.

Amir berkata, ia berikutan kesukaran untuk mendapatkan lagu baharu yang berkualiti dan sesuai dengan cita rasanya.

"Saya tidak kisah pun tiada lagu baharu kerana ketika bersama Ukays ada lebih 10 buah lagu popular dan lagu-lagu itulah yang memberi rezeki kepada saya.

"Kalau buat single baharu tetapi tidak memberi impak, tiada guna juga," katanya kepada mStar Online ketika ditemui di Comedy Plenet Kuala Lumpur, pada Rabu lalu.

Amir tak kisah bawa lagu lama.

Dalam pada itu, Amir berkata, dia dirisik oleh ahli kumpulan lamanya iaitu Amy yang juga gitaris Ukays untuk kembali sebagai vokalis kumpulan berkenaan.

Menurut Amir, dihubungi bagi meminta pandangan dan hala tuju kumpulan itu yang dilihat semakin hilang arah.

"Amy ada hubungi, tapi saya minta dia datang jumpa sebab saya tak boleh buat keputusan dalam telefon.

"Saya ada benda nak cakap dengan dia, nak bangunkan dia dari mimpi," ujarnya lagi.

Amir juga mengakui mengikuti perkembangan seni Ukays melalui laman sosial walaupun sudah tidak bersama mereka lagi.

Dia yang meninggalkan kumpulan itu pada 1997 berkata, Ukays seolah-olah tidak berkembang semenjak dibentuk semula dengan ahli baru.

"Entahlah, Saya tengok mereka macam tiada perubahan, Ukays pun sudah tidak gah seperti dahulu," katanya.

Amir Ukays

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain