suria

Ashraf Muslim Mahu Seperti Syamsul Yusof

Ashraf Muslim mahu menjadi seorang pengarah berkaliber seperti Syamsul Yusof.

KEMUNCULAN Ashraf Muslim menerusi drama bersiri Biar Aku Jadi Penunggu bergandingan dengan Janna Nick pada tahun lalu melonjakkan kembali namanya sebagai pelakon.

Menganggap penerimaan baik itu sebagai peluang keduanya untuk kembali merancakkan karier lakonannya namun Ashraf, 35, tidak mahu statik dengan situasi itu.

Sebaliknya dia berazam untuk mengembangkan karier seninya dan menyimpan hasrat bergelar pengarah berjaya seperti Syamsul Yusof.

Ashraf bakal muncul dengan filem terbaharu September depan.

"Saya ada juga terfikir sampai bila hendak berlakon dan tidak mencuba sesuatu yang baharu dalam karier seni saya.

"Alhamdulillah sekarang pun saya mula berjinak-jinak dalam bidang penulisan skrip dan pengarahan tetapi masih banyak perlu saya pelajari.

"Saya memang menyasarkan untuk bergelar pengarah dan saya kagum dengan Syamsul Yusof dan ingin menjadi sepertinya yang cukup berkaliber dalam bidang pengarahan," katanya kepada mStar Online.

Pun begitu kata pemilik nama sebenar Muhd Ashraf Muslim itu, dia tidak terburu-buru untuk bergelar pengarah kerana perlu mempersiapkan diri dengan ilmu dan pengalaman.

Syamsul Yusof.

"Pada tahap sekarang masih banyak perkara perlu saya pelajari tambahan pula keyakinan diri itu masih kurang untuk menggalas tanggungjawab besar itu.

"Saya perlukan masa untuk menimba lebih banyak ilmu kerana duduk di kerusi pengarah bukan perkara main-main dan apa dilakukan itu biarlah bersungguh-sungguh," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ashraf berkata, dia akan muncul dengan filem terbaharu berjudul Bukan Cinta Malaikat arahan Aziz M. Osman pada September depan.

Ashraf Muslim, Syamsul Yusof

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain