suria

Baju Raya Artis Mana Pilihan Anda?

Baju koleksi Nora Danish dan Siti Nurhaliza antara yang menjadi pilihan.

SEPANJANG Ramadan ini ramai artis yang tidak melepaskan peluang untuk menjual baju raya jenama mereka sendiri.

Pelbagai rekaan baju menarik mengikut cita rasa setiap selebriti yang menjadi rebutan peminat-peminat mereka.

Namun, ada juga yang menjadi duta untuk jenama-jenama terkenal dalam melariskan produk masing-masing.

Ayuh kita tinjau antara koleksi pakaian raya artis yang mendapat sambutan.

Antara koleksi baju raya Creation by Siti Nurhaliza.

1. Creation by Siti Nurhaliza

Koleksi baju raya Datuk Siti Nurhaliza iaitu Creation Anugerah Aidilfitri 2017 ini sememangnya menjadi pilihan kerana rekaanya yang menarik dan warna-warna lembut sesuai dengan trend semasa.

Koleksi menampilkan sebanyak 40 rekaan dari The Nostalgia Series dan 15 rekaan The Premium Series. Ia juga dijual dengan harga bermula RM189 sehingga RM300.

Bagi peminat-peminat penyanyi Jaga Dia Untukku ini pastinya sudah mendapatkan sepasang untuk Hari Raya Aidilfiti tidak lama lagi.

Koleksi baju raya Nora Danish

2. Owl By Nora Danish

Sebanyak 21 koleksi baju raya Owl by Nora Danish yang menarik dan mendapat perhatian remaja yang sukakan gaya terkini.

Koleksi Aidilfitri 2017 ini bukan sahaja menampakkan sentuhan mewah, malah menyerlahkan gaya kewanitaan.

Nora turut menjalani penggambaran baju-baju tersebut di Amerika Syarikat.

Siapa yang masih tercari-cari lagu baju raya, mungkin boleh dapatkan koleksi Owl By Nora Danish sebelum kehabisan.

Harga baju raya tersebut sekitar RM209 sehingga ke RM329.

Comel betul baju raya koleksi ibu dan anak ini.

3. Rozita Che Wan & Aaishah Dhia Rana (Minaz)

Selebriti terkenal Rozita Che Wan antara yang ditunggu-tunggu setiap kali raya kerana pastinya aktres ini tampil dengan koleksi anggun dan memukau.

Tahun ini, Rozita atau lebih dikenali sebagai Che Ta ini bergandingan dengan anaknya Aaishah Dhia Rana menjadi wajah utama jenama tempatan Minaz Luxe Raya Edition 2017.

Sebanyak 20 koleksi termasuk helaian sedondon ibu dan anak menjadi pilihan pelanggan jenama itu.

Harga baju-baju jenama ini sekitar RM199 sehingga RM329.

Ramai peminat lelaki yang nak jadi Fattah Amin pada Aidilfitri nanti.

4. Fattah Amin X Elrah Exclusive

Buat masa ini bagilah apa sahaja produk, pasti laris jika melibatkan nama pelakon popular Fattah Amin.

Hari Raya Aidilfiti tahun ini, Fattah bekerjasama dengan jenama tempatan Fattah Amin X Elrah Exclusive tampil dengan koleksi baju Melayu, jubah dan kurta.

Sebanyak 27 warna setiap pakaian boleh didapati dibutik jenama pakaian itu.

Tentu ramai jejaka diluar sana yang ingin tampil seperti Fattah Amin pada Hari Raya Aidilfitri nanti.

Baju raya Mak Cun.

5. Baju Raya Mak Cun

Tidak mahu melepaskan peluang, pengarah dan pelakon drama Erma Fatima turut mengeluarkan baju raya jenama drama popularnya Mak Cun.

Sebanyak sembilan koleksi baju raya kurung dan kebaya, manakala dua baju Melayu Mak Cun yang dijual secara online di laman jual beli CJ Wow Shop.

Baju-baju berkonsepkan tradisional ini dijual dengan harga sekitar RM150 sehingga RM300.


Artikel Lain