suria

Wany Hasrita Elak Beri Harapan Cinta

Akui ada yang cuba dekati, namun Wany Hasrita belum sedia bercinta.

SEJAK dikenali menerusi lagu Menahan Rindu  dan terbaharu Di Sini Cinta Di Sana Rindu  bersama Tajul Ariff, semakin menjadi-jadi populariti yang diraih penyanyi bernama Wany Hasrita ini.

Rentetan itu, tidak hairanlah seandainya penyanyi berusia 25 tahun ini mengakui sudah mula ada pihak yang berani meluahkan hasrat untuk mendapatkan cintanya.

Hah! Apa reaksi artis berhidung mancung ini? 

"Saya tidak nafikan, sejak mula dikenali memang ada yang cuba nak dekat. Namun dalam berhadapan dengan situasi sebegini, saya sendiri harus bijak mengawal diri agar tidak memberi apa-apa harapan kepada mereka.

"Justeru, saya akan melayan sama rata, tiada yang lebih dan tiada yang kurang," ujarnya kepada mStar Online.

Kata Wany Hasrita, dia mudah serasi dengan persekitaran.

Tambah anak tunggal dalam keluarga ini lagi, buat masa ini dia masih belum bersedia nak bercinta sebaliknya mahu memberi fokus kepada kerjaya seninya dahulu yang semakin sibuk.

Diusik mengenai karekter diri, pasti ramai yang menyangka sebagai anak tunggal, dia pasti beruntung kerana dapat merasai sepenuh kasih sayang daripada ibu dan ayahnya. 

Namun jangan terkejut kalau pemilik nama Nurshazwany Hasrita Hasbullah ini menyangkal dakwaan itu.

"Eh, siapa cakap... di rumah masih ada tiga ekor kucing. Sedihnya sebab saya harus berbahagi kasih sayang dengan kucing-kucing itu," ujarnya berseloroh.

"Sebenarnya kalau nak ulas tentang karekter diri, berdasarkan pengalaman sebelum bergelar artis ramai yang ingat saya ni seorang yang sombong kerana wajah saya nampak garang dan serius.

"Tapi sebenarnya Wany Hasrita merupakan seorang yang ceria, gila-gila dan mudah masuk dalam satu-satu keadaan.

"Kata orang, campak kat mana-manapun InsyaAllah boleh bawa diri," akhiri mahasiswa Sains Perubatan di Universiti Sains & Pengurusan (MSU) Shah Alam ini tersenyum manis.

Wany Hasrita

Artikel Berikut

Artikel Lain