suria

Rezeki GV3, Jadual Azharina Penuh Sehingga Hujung Tahun

Rezeki Azharina Azhar dalam bidang nyanyian semakin murah.

PETALING JAYA: Penyanyi Azharina Azhar bersyukur rezekinya semakin murah selepas memenangi program realiti nyanyian Gegar Vaganza musim ketiga (GV3) pada Disember lalu.

Azharina, 32, berkata, undangan persembahan nyanyian sudah penuh sehingga penghujung tahun 2017, malah dia terpaksa menolak beberapa tawaran secara baik kerana masalah jadual.

"Alhamdulillah, jadual saya sudah penuh hingga Disember ini, memang ada yang terpaksa saya tolak secara baik kerana masa bertindan.

"Boleh dikatakan setiap minggu ada sahaja persembahan makan malam (dinner show).

"Saya baru sahaja balik persembahan untuk Sultan Kedah dan bakal membuat persembahan majlis untuk Sultan Brunei pula minggu ini," ujarnya kepada mStar Online.

Azharina Azhar akui tawaran untuk persembahan penuh untuk tahun ini.

Azharina mengulas selepas ditanya tentang perkembangan kerjayanya selepas berakhir program realiti nyanyian popular itu.

Sementara itu, Azharina berkata, dia mempunyai kelompok peminat yang kebanyakkannya berusia lebih 35 tahun.

Katanya, perkara itu membuatkan dia beruntung apabila kerap dipanggil untuk majlis- majlis korporat dan orang kenamaan.

"Boleh dikatakan kebanyakkan persembahan untuk menteri-menteri sahaja, mungkin suara dan lagu-lagu nyanyian saya lebih diminati oleh golongan berumur.

"Tidak mengapalah, walaupun kurang peminat dikalangan remaja tapi saya beruntung kerana bayaran untuk persembahan untuk golongan seperti ini jauh lebih bagus," ujarnya.

Dalam pada itu, Azharina berkata, dia juga bakal membuat konsert di Lombok Indonesia pada 26 Januari ini.

Katanya, dia terharu apabila diterima peminat negara jiran itu dan berhasrat untuk memecah pasaran negara tersebut.

"Alhamdulillah, tiket untuk konsert saya sudah pun habis dijual disana dan saya diminta untuk menyanyikan lima buah lagu.

"Peminat di sana banyak memberi sokongan dan saya juga ada rancangan untuk memasuki pasaran negara itu dengan berkolaborasi dengan pemuzik-pemuzik Indonesia tidak lama lagi," ujarnya.

Azharina Azhar

Artikel Berikut

Artikel Lain