suria

Festival Skankin 2016 Gabung Konsert Reggae & Ska Pertama Di Malaysia

Sebahagian artis yang bakal terlibat pada Festival Skinkan 2016 yang akan berlangsung pada 24 Disember ini di KL Live.

PETALING JAYA: Buat julung kalinya, konsert yang mengangkat genre muzik reggae dan ska buat pertama kali akan diadakan di Malaysia menerusi Festival Skankin 2016.

Pengarah bersama Cartel Production, Amir Hakim berkata, konsert itu bertujuan mengetengahkan muzik genre berkenaan yang dahulu dianggap sebagai muzik 'underground' memandangkan ia mempunyai pengikut tersendiri.

"Kami di Cartel Production yang diterajui oleh sekumpulan anak muda berhasrat memartabatkan kembali muzik genre ska dan reggae di Malaysia.

Amir Hakim mahu menggembalikan kegemilangan muzik reggae dan ska.

"Festival Skankin 2016 ini merupakan langkah pertama kami untuk memperkenalkan kembali muzik ini kepada pendengar kerana ia mempunyai pengikut yang tersendiri," katanya kepada mStar Online.

Konsert itu bakal berlangsung di KL Live dekat sini pada 24 Disember ini dari pukul 3 petang hingga 12 tengah malam dengan penyertaan 12 kumpulan yang memperjuangkan muzik berkenaan.

Dalam pada itu, Amir berkata, penganjuran konsert ini juga bertujuan untuk menjadikan festival itu sebagai platform pemuzik baharu untuk mengetengahkan bakat kepada penonton.

Selain itu, katanya, Festival Skankin 2016 juga adalah pengenalan bagi konsert jelajah yang dijangka diadakan pada tahun hadapan termasuk di Singapura dan Indonesia.

Gerhana Ska Cinta.

Festival Skankin 2016 bakal memperlihatkan sebanyak 12 kumpulan reggae dan ska terkenal bakal membuat persembahan seperti Salam Musik, Gerhana Ska Cinta, Purevibracion, Republic of Brickfield, Plague of Happiness dan Sharpshooter.

Manakala turut terlibat adalah Skudap Skudip, Wakakukz, Johny Comes Lately, Rosewood, Mbex Firdaus and The Souljah, dan Budak Nakal Hujung Simpang.

Tiket bagi menyaksikan festival berkenaan dijual pada harga di antara RM110 dan RM130 yang boleh dibeli di Cartel Coffeshop bertempat di Seksyen 15, Bandar Baru Bangi dekat sini.

Ia juga boleh didapati menerusi laman web www.skankinfestival.asia atau telefon 013-2280788/ 018-2711730.

Artikel Lain