suria

Ibu Simpan Wang Persembahan Syamel

Syamel menyerahkan sebahagian wang yang diperoleh daripada persembahan kepada ibunya untuk disimpan dalam akaun simpanan tetap.

PETALING JAYA: Bekas peserta Akademi Fantasia 2015 (AF2015) Syamel memberitahu sebahagian wang yang diterima hasil mengadakan persembahan pentas diserahkan kepada ibunya untuk dipindahkan ke dalam akuan simpanan tetap.

Syamel, 23, berkata, dia berbuat demikian kerana bimbang akan disalahgunakan jika dia menyimpan wang berkenaan.

"Saya bukanlah seorang yang boros tetapi ketika masih muda ini saya ingin beringat dan meminta ibu yang pindahkan dalam akuan simpanan tetap dan bukunya dipegang oleh ibu.

"Dengan cara itu saya dapat menyimpan dan tidak membazirkan wang dengan membeli perkara yang tidak saya perlukan," katanya kepada mStar Online.

Syamel menyimpan hasrat untuk membeli sebuah rumah sebelum mencecah usia 25 tahun.

Syamel berkata, menerusi wang simpanan tersebut dia menyasarkan untuk membeli sebuah rumah pada masa hadapan yang disasarkan apabila mencapai usia 25 tahun atau pun sebelum berkahwin.

"Impian saya tiada lain selain ingin membeli sebuah rumah dan saya ada masa dua tahun untuk terus bekerja keras dan menyimpan wang kerana harga sebuah kediaman pada zaman sekarang bukannya murah.

"Bagaimanapun ia akan menjadi satu pelaburan yang baik dan harap-harap impian itu akan tercapai," jelasnya.

Sementara itu, Syamel memberitahu dia bersyukur bayaran yang diterimanya hasil mengadakan persembahan pentas berbaloi dengan segala usahanya selama ini.

Pun begitu katanya, sebagai pendatang baharu dia tidak boleh terlalu bersikap memilih atau 'demand' dan menganggap dirinya sebagai seorang graduan yang baru tamat pengajian di universiti.

"Saya masih baharu dan tidak boleh mengharapkan bayaran tinggi kerana saya menganggap diri sebagai seorang graduan yang baru tamat pengajian di universiti.

"Saya kena rajin cari peluang dalam meningkatkan prestasi diri memandangkan gaji seorang penyanyi seperti saya tidak menentu," katanya.

Syamel seronok menempuh pengalaman berpuasa dan menyambut hari raya sebagai selebriti.

Dalam pada itu, Syamel berkata, dia seronok dapat melalui pengalaman berpuasa dan menyambut Hari Raya pertama kali sebagai selebriti.

Ini kerana kata Syamel, dapat melakukan pelbagai aktiviti seperti menghadiri majlis berbuka puasa bersama rakan artis selain terlibat dalam kerja amal bersama anak-anak yatim dan golongan tidak berkemampuan.

Malah dia merancang untuk mengadakan rumah terbuka pada minggu kedua atau ketiga Syawal khas buat peminatnya bagi menghargai jasa mereka yang menyokong karier seninya.

Dalam perkembangan terbaharu, Syamel berkata, dia bakal melancarkan single terbaharunya yang masih berkonsepkan balada.

Katanya, dia masih mengekalkan genre balada kerana melihat peminat menyukai lagu-lagu berentak berkenaan.

"Setakat ini lagu berkenaan masih belum ada tajuk tetapi apa yang boleh saya katakan ia sebuah lagu balada yang Insya-Allah akan melekat di hati pendengar," katanya.

Syamel, Akademi Fantasia

Artikel Lain