suria

Pelakon Tamam Idris Meninggal Dunia Akibat Komplikasi Paru-Paru

PETALING JAYA: Pelakon era 1980-an iaitu Tamam Idris meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), dekat sini akibat komplikasi paru-paru.

Tamam atau nama sebenarnya Bustamam Idris, 77, meninggal dunia kira-kira pukul 11.55 malam Khamis.

Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Agung, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) iaitu Hafiz Nafiah kepada mStar Online.

Allahyarham dimasukkan ke pusat perubatan itu pada 22 Jun lalu namun keadaannya semakin kritikal dan mula koma pada Rabu lepas.

Sepanjang hayatnya Allahyarham aktif dalam drama-drama tempatan dan dikenali menerusi drama adaptasi novel sekolah iaitu Seorang Tua Di Kaki Gunung bersama Mahyon Ismail pada awal 1980-an.

Beliau juga adalah bapa mertua kepada pelakon dan pereka fesyen Baju Melayu iaitu Den Wahab.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, keadaan Allahyarham semakin membimbangkan dan sering mendapatkan rawatan di hospital.

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam bersebelahan Masjid Al Mukhlisin, Alam Damai, Cheras dekat sini sebelum solat Jumaat.

Tamam Idris, meninggal dunia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain