suria

Hujan Muncul Dengan 'Jika Sempat' Selepas Empat Tahun Berehat

Noh (tiga dari kiri) bersama anggota kumpulannya iaitu Hujan semasa pelancaran album mereka, 'Jika Sempat'. Foto YAP CHEE HONG

PETALING JAYA: Vokalis kumpulan Hujan iaitu Noh Salleh memberitahu mereka berehat selama empat tahun sebelum muncul dengan album baharu yang diberi nama Jika Sempat.

Noh berkata, tempoh masa itu adalah untuk mereka membuat haluan masing-masing sebelum kembali semula sebagai satu kumpulan.

"Empat tahun itu adalah masa untuk berehat sebab kami sudah jemu melihat wajah masing-masing setiap hari. Bila empat tahun buat hal sendiri kini baru rasa rindu untuk kembali bersama.

"Dalam masa itu juga, kami cari idea bersama dan beri peluang kepada saya juga untuk bergerak sendiri," ujarnya kepada mStar Online.

Noh berkata demikian pada majlis pelancaran album mereka di pejabat Warner Music, di sini, Jumaat.

Sementara itu, Noh berkata, album Jika Sempat ini menonjolkan vokalnya yang agak matang berbanding dalam album-album terdahulu.

Kumpulan Hujan bersama wakil Warner Music iaitu Mokhtaza (tiga dari kiri).

Dia turut mengambil kelas vokal semata-mata untuk memberi kelainan terhadap cara nyanyian.

"Album kali ini berbeza kerana saya sudah ambil kelas vokal. Jadi kali ini boleh dikatakan vokal yang matang dari saya," ujarnya.

Dalam pada itu, mengulas tentang album yang memuatkan 12 buah lagi ini kebanyakkan ia adalah koleksi lagu lama mereka yang belum digunakan.

Katanya, lagu-lagu tersebut merupakan karya yang tidak dipakai dalam simpanan mereka kerana tidak bersesuaian pada masa tersebut.

Bagaimanapun, lagu-lagu tersebut  menjalani proses rakaman semula vokal selain susunan muzik diperbaharui.

"Lagu-lagu yang ada ini sudah siap pada album terdahulu dan ditolak kerana tidak bersesuaian dengan masa itu.

"Sekarang ini masa yang sesuai untuk dikeluarkan dan selain itu, ramai peminat-peminat Hujan yang sudah lama merindui lagu baru Hujan," ujarnya.

Sepuluh lagu berkenaan adalah Jika Sempat, Biarkan Saja, Karektor Tentangan, Papa Mama, Jangan Lupakan Aku, Sendiri, Kamar Sepi, Miri, Berlari dan Mati dan Aku Janji.

Selain itu, Hujan bakal mengadakan siri Hujan London Tour pada akhir Mei ini untuk meraikan peminat-peminatnya bersempana ulang tahun mereka ke 10.

Hujan

Artikel Lain