suria

Search Batal Kerjasama Dengan Penganjur Konsert

Peguam Yusmadi Yusof (tengah) bersama kumpulan Search.

KUALA LUMPUR: Kumpulan rock popular tanah air, Search secara rasminya membatalkan kerjasama dengan penganjur konsert Search 35 Tahun, AF Jets Sdn Bhd (AF Jets) lantaran kegagalan syarikat itu memenuhi tanggungjawabnya dalam perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) bagi konsert tersebut.

Peguam yang mewakili kumpulan itu, Yusmadi Yusoff berkata satu notis pembatalan kerjasama telah dihantar kepada Ketua Pegawai Eksekutif AF Jets, Amrul Nizar Anuar pada Khamis dan meminta agar mereka menghentikan segala bentuk aktiviti promosi melibatkan nama Search sama ada di media cetak atau media elektronik.

Katanya antara tuntutan yang gagal dipenuhi AF Jets ialah AF Jets dan Search yang sepatutnya menubuhkan satu syarikat kerjasama mengenai pengurusan konsert didapati tidak berbuat demikian.

"Walaupun konsert dijadualkan berlangsung pada 30 Ogos ini, tiada sebarang perbincangan dilakukan mengenainya (konsert) malah Search sendiri yang banyak menguruskan hal ehwal perancangan konsert tersebut.

"Selain itu, kenyataan Amrul sebelum ini mengenai konsert yang akan dibatalkan disebabkan hubungan Search dan Yazit (pemain drum Search) seperti satu helah untuk mengaburi kegagalan mereka dalam mematuhi segala tanggungjawabdi bawah MoU," katanya dalam sidang media, Jumaat.

Yusmadi berkata pihaknya sedang mempertimbangkan tindakan yang sesuai terhadap AF Jets kerana mereka bukan sahaja tidak mematuhi MoU malah mengeluarkan kenyataan yang berbentuk 'bercanggah' dan 'mengelirukan' sehingga menimbulkan fitnah terhadap Search.

Sementara itu, vokalis Search, Amy berkata pihaknya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Amrul dan Yazit bahawa Search mahu menyingkirkan pemain dram itu daripada konsert tersebut.

"Itu merupakan satu penipuan yang amat besar dan saya tidak faham apa sebenarnya niat mereka mengeluarkan kenyataan sebegitu. Ia adalah fitnah dan telah merosakkan nama Search malah kami berasa amat sedih kerana ia berlaku ketika konsert yang mungkin akan jadi 'final' konsert kami.

"Seharusnya penganjur perlu berbincang dahulu dengan kami mengenai isu inidan bukannya mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan salah faham kepada semua pihak yang beranggapan Search yang patut dipersalahkan," katanya.

Amy berkata isu pengurusan dana kewangan mengenai konsert itu terletak dibawah tanggungjawab AF Jets dan Amrul didakwanya telah memutar belitkan fakta sehingga menimbulkan masalah 'salah tanggapan' kepada Yazit dan orang ramai.

Bagaimanapun, beliau masih berharap agar konsert Search dapat diteruskan dan turut membuka tawaran kepada mana-mana pihak yang berminat untuk menja dipenganjur konsert tersebut demi para peminat setia yang sentiasa menyokong mereka.

Pada 4 Mei lalu, Yazit telah membuat satu laporan polis berhubung dakwaan Search melakukan pecah amanah dan beliau tidak menerima sebarang bayaran berkenaan penganjuran konsert itu, namun dinafikan oleh Search. -Bernama

Search batal kerjasama, AF Jets

Artikel Lain