suria

APO2016: Hampir 20,000 Pencalonan Diterima Dalam Masa Seminggu

Artis dan mereka yang terlibat dalam APO2016.
PETALING JAYA: Pencalonan membabitkan kategori wanita mendapat sambutan tinggi dalam Anugerah Pilihan Online 2016 (APO2016) dalam tempoh seminggu selepas pelancarannya pada 3 Mac lalu.

Pengurus Produk mStar, Michael Fredericks berkata, secara keseluruhan, pihaknya menerima hampir 20,000 pencalonan daripada orang ramai bagi memilih personaliti masing-masing untuk melayakkan mereka mendapat tempat pada top five.

"Secara purata, laman web rasmi APO2016 menunjukkan trafik yang tinggi apabila banyak pencalonan diterima terutamanya bagi kategori membabitkan wanita,” katanya kepada mStar Online.

Kategori yang dimaksudkan itu ialah Aktres Terbaik Pilihan Online, Penyanyi Terhebat Pilihan Online dan Wanita Anggun Pilihan Dnars.

Katanya, setakat ini pencalonan membabitkan personaliti hiburan mendapat sambutan tinggi berbanding kategori-kategori lain yang diperkenalkan.

Geng promosi dari Suria FM mengadakan sesi jelajah APO2016 untuk meraih pencalonan daripada orang ramai.

Tambahnya, kategori yang paling kurang mendapat pencalonan ialah Blog Pilihan Online, mungkin disebabkan pengetahuan orang ramai mengenai kewujudan blog-blog tersebut masih kurang.

Selain itu, trend pencalonan yang mendapat sambutan itu turut didorong dengan langkah promosi berterusan pihak mStar Online menerusi media sosial yang diperkenalkan dan juga promosi bergerak oleh pihak Suria FM membabitkan kawasan Utara, Selatan dan Lembah Klang.

Proses pencalonan awal berlangsung sehingga 30 Mac ini sebelum peringkat undian pula dibuka pada 1 April depan.

Bagi peringkat pencalonan, hanya sekali sahaja pemilihan dibenarkan bagi setiap akaun media sosial manakala untuk pengundian pula, orang ramai boleh mengundi sekali sahaja pada setiap hari.

Ia boleh dibuat menerusi http://apo.mstar.com.my/utama.aspx

Selain mStar Online, APO2016 dijayakan bersama Suria FM dan dihebatkan oleh produk kosmetik Dnars sebagai penaja utama.

APO2016 akan disiarkan di TV2 pada 30 April depan. Hashtag bagi anugerah ini ialah #APO2016.
APO2016

Artikel Lain