suria

Siti Nurhaliza Tidak Bimbang Produk Tiruan Guna Jenamanya

Siti Nurhaliza muncul dengan koleksi Ariani. FOTO: AZMAN GHANI
KUALA LUMPUR: Datuk Siti Nurhaliza menaruh keyakinan beliau tidak akan berhadapan masalah serius terhadap barangan tiruan kepada produk tudung dan pakaian terbaharu Ariani X Creation By Siti Nurhaliza.

Siti atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Tarudin, 37, berkata, fabrik berkualiti yang digunakan untuk menghasilkan produk berkenaan akan membuatkan pelanggan bijak untuk membuat pilihan.

"Saya percaya peminat saya tidak akan beli barangan tiruan dan mereka juga tidak mahu beli barangan yang tidak asli dan rendah kualiti.

"Saya ada berbincang dengan pihak Ariani tentang masalah barangan tiruan dan mereka yakin tidak akan berhadapan dengan masalah serius. Jika sedikit tidak mengapa kerana mereka faham ada peniaga yang mahu mencari rezeki juga," ujarnya kepada mStar Online.

Siti Nurhaliza (tengah) memakai jubah dan tudung koleksi terbaharu Ariani X Creation By Siti Nurhaliza. FOTO: Azman Ghani.

Siti ditemui pada sidang media pelancaran koleksi Ariani X Creation By Siti Nurhaliza yang diadakan di Hotel Royale Chulan, di sini, Khamis.

Enam koleksi tudung dan pakaian eksklusif bawah label Ariani X Creation By Siti Nurhaliza turut diperkenalkan.

Produk itu dikeluarkan hasil kolaborasi perniagaan Siti dengan pengeluar produk berkenaan iaitu Ariani selain dengan kerjasama Jakel.

Siti berkata, koleksi tersebut dihasilkan dengan sentuhan tiga elemen utama yang merangkumi exclusivity, modesty dan contemporary.

Dia juga memilih rekaan yang tidak terlalu sarat dan kasual yang mana sesuai digunakan untuk aktiviti seharian.

Tambah Siti, kesemua koleksi tersebut dijual dengan harga mampu milik untuk semua golongan masyarakat dengan kualiti yang tinggi.

"Harga tidak mahal serendah RM80 dan tidak kurang daripada RM400 bagi jubah. Kualiti produk keluaran kami sudah tentu lebih berpatutan dengan harga yang ditawarkan itu.

"Daripada segi corak fabrik adalah eksklusif pilihan saya sendiri dan hanya dijual pada koleksi Ariani X Creation by Siti Nurhaliza sahaja," ujarnya.



Sementara itu, ditanya tentang kolaborasi dengan Ariani, Siti berkata, dia mahu sebuah syarikat yang pakar tentang selok belok perniagaan tersebut.

Katanya, kolaberasi itu membuatkan perjalanan urusan produksi berjalan lancar berbanding melakukannya sendiri.

"Saya tidak tahu tentang jenis-jenis fabrik dan bagaimana perjalanan tentang bisnes pakaian ini, jadi saya memerlukan mereka yang pakar dan memudahkan kerja saya.

"Saya cuma cakap sahaja mahu jenis kain yang bagaimana dan dia orang akan cari yang terbaik untuk rekaan yang saya mahu. Bukan saya tidak mahu bergerak sendiri, cuma ia mengambil masa lama untuk belajar," ujarnya.

Siti berkata, enam koleksi tudung dan selendang serta beberapa koleksi pakaian siap pakai boleh didapati di Jakel Mall, di sini mulai Jumaat.
Siti Nurhaliza

Artikel Lain