suria

Ziana Zain Tidak Ambil Pusing Kritikan Berpakaian Ketat Di Festival Islamik

Ziana Zain (kanan) menerima anugerah Selebriti Ikon Pilihan Intrend daripada Editor majalah Intrend, Rosie Nasir sempena sambutan ulang tahun ke-10 majalah itu pada Selasa. FOTO: GLENN GUAN.
PETALING JAYA: Penyanyi Ziana Zain tidak ambil pusing mengenai kritikan dilemparkan orang ramai mengenai pakaiannya yang ketat ketika menghadiri Festival Fesyen Islamik (IFF)  di Cannes, Perancis.

Ziana, 47, menyifatkan kritikan tersebut adalah lumrah yang perlu diterima bagi seseorang selebriti sepertinya dan  menerima komen-komen tersebut dengan hati terbuka.

"Saya sebenarnya tidak ambil pusing mengenai perkara tersebut kerana dalam dunia artis ini orang akan mengata dan memuji.

"Setiap manusia mempunyai pandangan sendiri untuk memberi pendapat tetapi kadang-kadang orang yang memberi pandangan itu melihat seolah-olah diri mereka sempurna," katanya kepada mStar Online.

Ziana ditemui pada majlis sambutan 10 tahun majalah Intrend di Hotel Pullman, Bangsar di sini, Selasa.

Ziana (kiri) bersama pereka fesyennya iaitu Rizman pada Festival Fesyen Islamik (IFF)  di Cannes, Perancis. Pakaian inilah yang dikritik oleh peminat Ziana. Foto dari Instagram milik Ziana.

Pada majlis yang diadakan, Ziana turut menerima anugerah Selebriti Ikon Pilihan Intrend menerusi undian yang dilakukan oleh pembaca majalah itu. Anugerah disampaikan oleh editor majalah berkenaan, Rosie Nasir.

Kira-kira 50 orang artis hadir pada majlis itu antaranya Datuk Siti Nurhaliza, Amelina, Tasha Shila, Nad Zainal, Dayang Nurfaizah, Norman Hakim, Altimet dan Vince.

Tambah Ziana, dia tidak mahu memikirkan mengenai isu yang ditimbulkan itu kerana pernah menerima kritikan lebih teruk sebelum ini.

Dalam pada itu, Ziana menjelaskan sebagai seorang selebriti yang sering menjadi perhatian umum dia perlu menggayakan pakaian mengikut trend masa kini.

"Sebagai seorang selebriti ikon fesyen saya perlu menggayakan pakaian yang mengikut trend terkini kerana tidak salah jika imej digayakan bersesuaian dengan majlis.

"Selagi pakaian yang dipakai itu masih menutup aurat ia sebenarnya sudah cukup bagi saya," katanya.

Terdahulu, Ziana mendapat kritikan hebat daripada peminatnya menerusi laman media sosial Instagram mengenai pakaian rekaan Rizman Ruzaini yang digayakannya sempena Festival Fesyen Islamik (IFF) di Perancis pada hujung Mei lalu.
Ziana Zain

Artikel Lain