suria

Astro Jawab Isu Zizan Razak Digam Kerana Kontroversi

Zizan Razak semakin dihimpit kontroversi.
KUALA LUMPUR: Ketiadaan wajah Zizan Razak dalam program-program khas sepanjang bulan  Ramadan di saluran Astro bukan beerti pelawak itu digam stesen televisyen berkenaan seperti yang diperkatakan beberapa pihak.

Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh berkata, Zizan mempunyai jadual kerja yang padat dan pihaknya tidak pernah menamatkan kontrak Zizan sebagai artis eksklusif Astro.

"Zizan masih lagi artis Astro dan pihak kami tidak pernah merehatkannya mahupun menghentikan kontrak seperti yang diperkatakan.

"Walaupun dia tidak terlibat dengan program-program khas Ramadan, tetapi dia lebih ditumpukan ke arah projek-projek untuk Hari Raya," katanya kepada mStar Online.

Khairul Anwar ditemui pada majlis pelancaran program-program khas Astro  sempena bulan Ramadan di Hotel Marriot di sini pada Rabu.

Antara artis yang terlibat dalam program Ramadan di Astro.

Dia diminta mengulas mengenai ketiadaan wajah Zizan bagi mana-mana rancangan semepana Ramadan yang dilancarkan itu.

Kontroversi Zizan mula tercetus selepas hubungan cintanya dengan aktres Emma Maembong terputus kononnya kehadiran pihak ketiga pada hujung tahun lalu.

Pelawak itu kemudiannya dituduh sebagai individu yang menghantar mesej lucah kepada beberapa wanita.

Difahamkan stesen televisyen Astro telah merehatkan Zizan daripada muncul dalam mana-mana program stesen televisyen berkenaan buat sementara waktu akibat kontroversi itu.

Dalam pada itu tambah Khairul, pihaknya tidak akan menghentikan kontrak Zizan hanya kerana kontroversi yang timbul memandangkan pelawak itu mempunyai bakat besar selain memiliki disiplin yang tinggi ketika bekerja.

Mengenai program-program sempena Ramadan, Astro bakal menayangkan lebih 44 buah program terbaik dengan hampir 350 slot jam diperuntukkan menerusi saluran dalam segmen Melayu.

Khairul Anwar Salleh

Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad berkata, terdapat pelbagai drama baharu yang akan menjadi fenomena terutamanya siri  M.A.I.D lakonan Ayda Jebat dan Zul Ariffin.

"Tidak ketinggalan juga rancangan memasak popular iaitu Resipi Memikat Suami akan disiarkan untuk musim baru pula.

"Saya percaya drama dan program yang disediakan akan memberi impak tersendiri buat para penonton," kata Raqim.

Selain itu, Astro Oasis akan memulakan kempen Projek Ngaji dengan bertadarus 30 juzuk Al Quran selama 30 hari dimana ia diakhiri dengan program khatam Quran iaitu Imarah Ramadan.

Astro Prima pula tidak ketinggalan dengan sajian drama yang diadaptasi dari novel iaitu Cik Bunga Encik Sombong yang diterbitkan khas bagi siaran Ramadan.

Program-program khas tersebut akan disiarkan bermula 15 Jun ini.
Zizan Razak

Artikel Lain