suria

Rozana Misbun Berjaya Peroleh Cerai Taklik Terhadap Awie Di Songkhla

Rozana (kiri) berasa lega apabila kes permohonan cerainya terhadap Awie secara taklik diterima Majlis Agama Islam Songkhla, Thailand.
PETALING JAYA: Talak antara penyanyi Awie dan Rozana Misbun akhirnya gugur selepas wanita itu mendedahkan dia berjaya mendapatkan tuntutan fasak secara taklik dari pejabat Majlis Agama Islam, Songkhla, Thailand pada 1 November 2014.

Rozana, 36, berkata, permohonan fasakh itu berjaya diperoleh selepas pihak Majlis Agama Islam Songkhla, berpuas hati dengan keterangan serta bukti diberikannya selepas tragedi 2 Jun 2014 iaitu kejadian dibelasah oleh Awie.

"Saya ingin jelaskan di sini bahawa saya bukan lagi isteri Awie berkuat kuasa 1 November 2014.

"Bertitik tolak dari kejadian 2 Jun 2014 yang dikemukakan, permohonan cerai saya telah diluluskan oleh Majlis Agama Islam Songkhla, sekali gus sijil perceraian yang sah mengikut undang-undang telah dikeluarkan dan disahkan pihak terbabit," katanya secara eksklusif kepada mStar Online pada Selasa.

SILA KLIK: Hasrat Awie Tuntut RM1 Juta Terhadap Isteri Ditolak Mahkamah

Taklik adalah perjanjian kahwin yang dibacakan suami secara lisan selepas akad nikah dan mengikut perjanjian itu, talak seseorang boleh gugur jika berlaku pengabaian tanggungjawab oleh suami terhadap isteri.

Saat bahagia Rozana dan Awie kini tinggal kenangan.

Kata Rozana, permohonan itu dibuat di pejabat agama Islam berkenaan kerana ia adalah lokasi di mana dia dan Awie bernikah iaitu pada 20 Jun 2005.

Bagaimanapun pernikahan itu sehingga sekarang gagal didaftarkan di negara ini sehinggalah permohonan cerai tersebut dilakukan.

Tambah Rozana lagi, dengan gugurnya talak itu, dia mengalu-alukan Awie untuk berjumpa dengan peguamnya iaitu Jamal Mohd Lokman bagi menyelesaikan beberapa perkara yang perlu.

"Apa yang saya mahu ialah kehidupan dengan tiga anak saya. Saya juga sudah tiada masa untu memikirkan lagi perkara-perkara remeh,” kata Rozana.

Malah wanita itu turut menuntut agar Awie mematuhi arahan mahkamah supaya menyerahkan anak sulung mereka, Putra Ahmad Merrah, 8, yang kini berada bersamanya kerana hak penjagaan sementara diperoleh Rozana pada 27 Januari lalu.

Dua lagi anak mereka iaitu Putra Ahmad Rezzki, 7, dan Puteri Qasseh Antasha, 5, berada dalam jagaan Rozana.

"Saya bersyukur kepada Allah kerana dua daripada tiga anak saya kini berada bawah jagaan saya. Insya-Allah saya tidak pernah putus berdoa dan yakin bahawa anak sulung saya iaitu Merrah yang masih lagi tidak diserahkan kepada saya akan kembali ke pangkuan saya dan adik-adiknya nanti,” ujar Rozana.

Terdahulu, Awie menghadapi tuduhan di Mahkamah Majisteret Ampang, Selangor dekat sini kerana mendatangkan kecederaan terhadap Rozana yang dibicarakan menurut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Prosiding kes berkenaan yang sepatutnya disambung pada Rabu (hari ini) terpaksa di tangguhkan atas permintaan peguam Awie..

Pasangan berkenaan turut berhadapan kes tuntuan hak jagaan kekal anak di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan dekat sini.

Rozana bersama anaknya, Qasseh. Qasseh menggayakan contoh baju kurung kanak-kanak yang dijual secara dalam talian.

Jual Baju Kurung Kanak-Kanak

Dalam perkembangan lain Rozana berkata, dia kini menjalankan perniagaan menjual baju kurung kanak-kanak yang dikenali sebagai Qasseh mengambil sempena nama anaknya.

Kata Rozana, perniagaan itu diusahakan bersama adiknya Amanda Misbun untuk menampung pendapatan.

"Baju kurung Qasseh ini dibuat dari kain kapas yang berkualiti tinggi dan sesuai untuk anak-anak dengan harga yang tidak membenankan,” katanya.

Ia dijual serendah RM55 bagi kanak-kanak perempuan berumur 1 dan 2 tahun manakala RM69 untuk yang berusia 3 hingga 9 tahun.

Mereka yang berminat boleh menjadi pengikut di Instagram dan Facebook menerusi akaun @qassehonline


Awie, Rozana Misbun

Artikel Lain