suria

Shukri Yahaya Kesal Dedahkan Identiti Peminat Biadab

Shukri Yahaya.

PETALING JAYA: Pelakon Shukri Yahaya berasa kesal kerana mendedahkan identiti salah seorang pengikut yang bersikap biadap terhadap dia di laman Instagram.

Shukri, 27, bagaimanapun memutuskan untuk memadam semula foto yang dimuat naik selepas merasakan tindakan seperti itu dilihat kurang bijak kerana ia sekali gus menunjukkan sikapnya yang tidak matang.

"Menerima komen-komen negatif di Instagram adalah perkara yang normal dan saya tidak kisah dengan perkara itu.

"Tetapi apabila kutukan itu melibatkan keluarga terutamanya ibu dan ayah, ia boleh membuatkan saya hilang sabar. Perkara itu membuatkan saya bertindak mendedahkan identiti pengikut saya yang sering memburukkan saya dan lebih buatkan saya geram dia mengutuk mak ayah saya.

"Tetapi mak saya pula bersikap tenang dan meminta saya membuang foto berkenaan (mendedahkan wajah individu tersebut). Baru saya sedar bahawa apa yang dibuat itu adalah tindakan yang kurang bijak," katanya yang dihubungi mStar Online pada Selasa.

Ahad lalu, Shukri mendedahkan identiti seorang wanita yang memberi komen negatif terhadap lakonannya dalam Dia Isteri Luar Biasa (DILB).

Wanita itu membandingkan filem lakonan Shukri sebelum ini iaitu Asam Pedas Untuk Dia yang dilihat lebih bagus berbanding DILB, dianggap karya tidak bermoral serta boleh menjatuhkan akhlak masyarakat.

Lebih buruk lagi wanita tersebut turut menghentam Shukri dan keluarganya di laman sosial itu.

Shukri berharap isu seperti itu tidak berulang lagi kepadanya mahupun pelakon-pelakon lain. Namun dia tidak menafikan perkara itu semakin menjadi-jadi di kalangan netizen yang suka mengutuk selebriti tanpa sebab.

"Tidak kira siapa-siapa, memburukkan orang lain di laman sosial adalah perkara yang tidak sihat.

"Saya juga menasihati diri ini agar lebih berhati-hati dan berfikir panjang sebelum memuat naik sebarang status berbentuk emosi," ujarnya.

Shukri Yahaya

Artikel Lain