suria

Ogy Bidas Artis Baharu Lebih Kejar Populariti

Ogy Ahmad Daud
PETALING JAYA: Aktres Ogy Ahmad Daud membidas pelakon-pelakon baharu yang dilihat lebih mengejar populariti berbanding melakukan usaha untuk menghayati watak mereka dalam bidang lakonan.

Ogy atau nama sebenarnya Fauziah Datuk Ahmad Daud, 53, berkata pelakon masa kini perlu belajar untuk menjiwai watak dengan lebih mendalam supaya lakonan mereka benar-benar dapat dihayati.

"Kebanyakan pelakon hari ini cuma tahu berlakon sahaja tetapi mereka tidak tahu untuk menghayati watak yang diberikan agar watak tersebut dapat memberi kesan kepada penonton.

“Saya tidak menafikan kita memerlukan pelapis baru dalam industri ini tetapi mereka harus pergi ke kelas lakonan untuk memantapkan lagi penghayatan mengenai watak yang dibawa serta menambah ilmu lakonan mereka," katanya kepada mStar Online.

Ogy berkata demikian ketika ditemui pada majlis sempena sambutan tiga dekad majalah Media Hiburan di Hotel Pullman Kuala Lumpur, Bangsar, di sini Selasa.

Ogy ingin mencari protege yang mempunyai personaliti yang tersendiri. Foto ART CHEN


Majlis tersebut diadakan untuk melancarkan sebuah buku khas berjudul '30 Living Legends Media Hiburan' dan memberi pengiktirafan kepada 30 para legenda atas pencapaian masing-masing.

Turut  menerima anugerah pada majlis itu ialah KRU, Amelina, Amy (Search), Faizal Hussein, Fauziah Nawi, Datuk Hattan, Jay Jay, Datuk Khadijah Ibrahim, Salamiah Hassan, Datuk Siti Nurhaliza, Puan Sri Tiara Jacquelina, Datuk Yusuf Haslam dan Ziana Zain.

Tambah Ogy lagi, teguran yang diberikan bukan untuk menjatuhkan populariti mana-mana pelakon tetapi ia merupakan nasihat sebagai orang lama dalam industri seni dalam usaha memertabatkan semula indusri tanah air.

"Saya memberi teguran ini bukannya tujuan untuk membencikan mereka tetapi saya sayang dengan bakat yang terdapat pada sesorang itu kerana mereka mempunyai bakat yang besar untuk diketengahkan.

"Sesorang artis itu perlu mempunyai ilmu dan mereka harus merujuk kepada artis lama yang berbakat besar untuk belajar mengenai cara lakonan yang betul supaya ia dapat meningkatkan mutu lakonan mereka," tegasnya.
Ogy

Artikel Lain