suria

Transformasi Wajah Baharu, 'Bukit Kepong' Ditayang Ogos

Dari kiri; Norman Abdul Halim, Ketua Pengarah Finas, Datuk Kamil Othman dan pengarah filem Bukit Kepong, Tan Sri Jins Shamsuddin.
KUALA LUMPUR: Filem epik Bukit Kepong arahan Tan Sri Jins Shamsuddin Sdn Bhd berjaya dinaik taraf kepada kandungan definasi tinggi (HD) melalui proses membaik pulih yang dilakukan oleh anak syarikat KRU iaitu Prodigital Lab Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Syarikat KRU, Norman Abdul Halim berkata, filem tersebut menjalani proses tranformasi bagi meningkatkan kualiti termasuklah dari sigi visual dan audio bagi tujuan komersial dan pengedaran semula.

"Kita menaik filem ini kepada kandungan definasi tinggi, malah meningkatkan kualiti warna seolah-olah penggambaran baharu sahaja dilakukan semalam.

"Selain itu, mutu audio juga dipertingkatkan dalam proses adunan semula daripada mono ke stereo, suntingan bagi menyelaraskan lipsync audio asal dengan visual, noise reduction serta penambahan kesan bunyi," ujarnya kepada mStar Online.

Norman ditemui pada sidang media Ops Selamatkan Bukit Kepong yang diadakan di Platinum Sentral, di sini, Selasa.

Turut hadir pada majlis tersebut Ketua Pengarah Finas, Datuk Kamil Othman, pengarah filem itu, Jins Shamsudin, Datin Paduka Shuhaimi Baba dan Pengurus Besar Grand Brilliance, Tengku Iesta.

Imej terbaharu Jins Shamsuddin. Beliau kelihatan uzur namun masih mampu memenuhi undangan majlis.

Tambahnya, filem yang diterbitkan pada tahun 1981 itu mengambil masa selama tiga bulan untuk proses tranformasi tersebut dan menelan kos sekitar RM100,000.

"Kos dan tempoh proses digital remastering bergantung kepada kondisi filem. Ketika kami menerima filem ini, ia dalam format filem negatif 35mm, kami dapati keadaannya tidak begitu baik dan ia sudah melekat serta tidak boleh diimbas.

"Ia terpaksa dibawa ke Thailand untuk proses pembersihan dan sangat rumit sehingga mengambil masa yang lama," ujarnya.

Sementara itu, Norman berkata, dia memilih filem Bukit Kepong sebagai filem pertama melakukan proses itu berikutan ia sebuah filem yang masih relevan untuk ditonton generasi masa kini.

Katanya, teknologi dan teknik pengimejan berkomputer yang digunakan dalam filem itu dilihat sebagai mendahului zaman.

Tambahnya, tayangan filem tersebut akan diadakan selama dua iaitu pada bulan Ogos depan sempena bulan kemerdekaan.

"Filem ini berbeza daripada filem lain yang mana saya lihat ia sebagai filem lama yang masih releven untuk ditonton.

"Bukit Kepong juga banyak menerapkan nilai-nilai yang baik dan Insya-Allah akan ditayangkan di pawagam pada bulan kemerdekaan," ujarnya.

Dalam pada itu, Norman berkata, pihaknya dalam proses membaik pulih tiga filem lain iaitu Menanti Hari Esok, Esok Masih Ada dan Tiada Esok Bagimu yang mana filem berkenaan adalah arahan Jins Shamsuddin.

Satu lagi filem Jins Shamsuddin yang menggunakan tajuk esok ialah Esok Untuk Siapa.
Jins Shamsuddin, Bukit Kepong

Artikel Sebelum

Artikel Lain