suria

Isu Dipinggirkan, Indah Ruhaila Tidak Salahkan Sesiapa

Indah tidak berhasrat untuk meninggalkan syarikat pengurusannya.

PETALING JAYA: Penyanyi Indah Ruhaila tidak menyalahkan mana-mana pihak apabila isu kononnya dia dipinggirkan oleh syarikat pengurusannya iaitu Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB) terus diperkatakan biarpun pernah menyangkal mengenai perkara itu.

Indah, atau nama sebenarnya Siti Ruhailah Hussein, 27, berkata, dia juga tidak berhasrat untuk meninggalkan AESB kerana selesa dan berpuas hati dengan cara kerjayanya diuruskan oleh pihak tersebut.

"Saya sebenarnya masih cuba untuk memahami apa sebenarnya masalah yang dikatakan berlaku diantara pihak saya dan AESB kerana setakat ini tidak ada sebarang masalah.

"Saya masih berada dibawah naungan AESB dan semua gosip yang diperkatakan adalah tidak benar," katanya kepada mStar Online.

Bagaimanapun Indah berkata, dia enggan mengulas lanjut mengenai perkara berkenaan kerana menghormati pihak pengurusannya selain bimbang akan menimbulkan isu lain selepas ini.

"Saya tidak mahu terlalu fikirkan mengenai perkara ini dan adalah lebih baik saya fokus kepada langkah seterusnya dalam karier saya," ujarnya.

Dalam pada itu, Indah berkata, dia bersyukur kerana para peminatnya sentiasa memberi kata-kata semangat di laman sosial sejak namanya dikaitkan dengan beberapa kontroversi.

Jelas Indah, sokongan yang diterimanya adalah pemangkin semangat untuk dia meneruskan kerjaya seninya biarpun kadang-kala berasa terganggu dengan cakap-cakap serong mengenainya.

"Saya bertuah dan berterima kasih kerana mempunyai peminat yang cukup memahami dan sentiasa berada di belakang saya dalam apa juga keadaan.

"Keperihatinan itulah membuatkan saya kuat menghadapi semua cabaran dan sentiasa bersemangat untuk terus memperbaiki diri," katanya.

Dalam perkembangan lain, Indah berkata, dia bakal melancarkan single terbaharunya dalam masa terdekat ini selain semakin sibuk dengan undangan nyanyian.

Indah Ruhaila.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain