suria

Pekin Sindir Peminat Filem Melayu Dalam 'Coverina'

Pekin akui filem Coverina bajet rendah.
KUALA LUMPUR: Pelakon dan penerbit filem, Pekin Ibrahim memberitahu filem terbaharunya berjudul Coverina merupakan filem parodi bagi menyindir masyarakat yang sering melabelkan filem-filem melayu sebagai filem bodoh.

Pekin atau nama sebenarnya Mohd Iznan Ibrahim,34, berkata, filem itu dibuat bagi memenuhi permintaan masyarakat yang mahukan sebuah filem berbeza daripada filem biasa disajikan di pawagam.

"Masyarakat kita tidak habis-habis menganggap filem Melayu sebagai filem bodoh, walaupun filem bagus yang menelan belanja besar pun mereka anggap ia filem bodoh.

"Mereka mahu filem yang lain dan berbeza, jadi saya cuba beri mereka filem ini dan nak lihat bagaimana mereka punya respons. Kalau filem bagus mereka kata bodoh, filem begini pula apa yang mereka katakan nanti," ujarnya kepada mStar Online.

Pekin berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan media filem Coverina yang diadakan di NU Sentral, di sini, malam Isnin.
Pekin Ibrahim, Siti Elizad dan Cat Farish pelakon filem Coverina.

Tambahnya, filem Coverina ini menyampaikan beberapa mesej kepada masyarakat dan pembikin filem tempatan yang tidak sedar tentang keadaan industri filem yang semakin tenat.

Katanya, ia banyak menyindir beberapa pihak yang terlalu megejar keuntungan tanpa mengira kepentingan untuk menghidupkan kembali industri ini.

"Banyak mesej yang kami nak sampaikan terutama sekali kepada masyarakat dan produser-produser filem. Masyarakat hanya tahu mengkritik dan tidak mahu menghargai sesebuah karya filem.

"Produser pula kini takut untuk melabur dan menghasilkan filem kerana tiada untung. Bagaimana pula dengan nasib kami sebagai penggiat filem?

"Kami terpaksa keluar duit dan buat sendiri filem supaya industri filem terus berjalan. Namun ini sahaja hasil yang kami mampu lakukan tanpa bajet yang besar," katanya.

Bagaimanapun, Pekin berkata, dia tidak mengharapkan keuntungan besar diperolehi untuk filem tersebut yang hanya akan ditayangkan di 35 buah pawagam di Malaysia.

Sementara itu, Pekin diminta mengulas tentang gambar selfie yang dimuat naik oleh bekas tunangnya pelakon Uqasha Senrose pada 13 Februari lalu.

Jelasnya, tindakan itu hanyalah atas dasar untuk mempromosikan filem tersebut semata-mata.

"Ketika terserempak dengan dia dalam satu sesi fotografi dia minta untuk ambil gambar bersama bagi tujuan promosi, jadi saya fikir ia adalah peluang yang bagus kerana pengikut Instagram dia ramai.

"Saya hanya bersikap profesional sahaja dan perkara itu tidak bermakna kami kembali dan berbaik seperti dulu," ujarnya.

Pekin berkata, dia tidak pernah terfikir untuk berkerjasama dengan wanita itu dalam mana-mana projek lakonannya.

Filem Coverina terbitan SPS Jaya Sdn Bhd ini mengisahkan tentang usaha seorang lelaki untuk mendekati wanita idamannya sehingga terpaksa menukar penampilan menjadi wanita. Usaha tersebut menjadi sia-sia identitinya terbongkar.

Selain Pekin, filam Coverina dibarisi oleh pelakon seperti Siti Elizad, Cat Farish, Shahrolnizam Sulaiman dan Kina Kamal akan ditayangkan di pawagam bermula 19 Februari ini.

Pekin Ibrahim, Coverina

Artikel Berikut

Artikel Lain