suria

Syazwan Zulkifly Perjelaskan Isu Cemburu Buta Di Lokasi Drama

Syazwan akui keluarga terkesan dengan gosip buruk.
PETALING JAYA: Pelakon Syazwan Zulkifly menyifatkan tuduhan kononnya dia bersikap cemburu buta di lokasi penggambaran drama Istikharah Cinta hanyalah satu khabar angin yang sengaja disebarkan.

Syazwan, 28, berkata, dia tidak pernah membuat masalah ketika penggambaran dan mempunyai hubungan baik dengan semua tenaga kerja produksi sapanjang penggambaran drama itu berlangsung.

"Saya pelik bagaimana cerita yang tidak benar ini boleh keluar sedangkan ia tidak pernah berlaku. Saya akui mempunyai hubungan baik dengan pelakon perempuan iaitu Faye Kusyairi, namun tidak pernah pula ada 'drama' antara kami kerana sikap cemburu saya sehingga telah menjejaskan penggambaran.

"Saya dengan krew produksi semuanya baik-baik sahaja dan mereka anggap saya sebagai 'pak lawak' ketika di lokasi penggambaran kerana saya terlalu banyak cakap," ujarnya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Isnin.

Syazwan berkata demikian ketika diminta mengulas laporan di ruangan pojok akhbar mingguan Ahad lalu kononnya sikap cemburunya telah menjejaskan penggambaran drama tersebut.

"Laporan itu turut menyebut, Syazwan kerap bergaduh dengan kekasihnya gara-gara cemburu melihat wanita itu bermesra dengan kru lain.

Sementara itu, ditanya tentang hubungannya dengan pelakon baharu itu, Syazwan berkata, ia masih dalam peringkat awal dan ingin mengenali wanita itu dengan lebih dekat.

Syazwan akui sedang rapat dengan pelakon baharu Faye Kusyairi

"Pada awalnya, saya saja je 'menyakat' dia kerana ingin bagi dia rasa selesa bekerja dengan saya, namun lama kelamaan kami jadi rapat pula. Tapi tidaklah sampai ada adegan cemburu seperti diceritakan itu," ujarnya.

Dalam pada itu, Syazwan turut mengakui terkilan dengan laporan kononnya dia pusing cerita tentang dakwaan telah terasa hati tidak ditemuramah media ketika tayangan filem Suamiku Mr Perfect 10, pada 15 Januari lalu.

Tegas Syazwan, dia tidak pernah sekali-kali berharap untuk ditemuramah oleh pihak media setiap kali hadir ke sesebuah majlis hiburan.

"Saya tidak tahu mengapa mereka cakap begitu, betul saya tidak pernah letak harapan untuk ditemuramah media setiap kali ada majlis kerana saya sudah biasa dengan perkara itu.

"Saya datang itu kerana untuk beri komitmen kepada filem tersebut. Saya terpaksa balik awal kerana ada penggambaran lain dan bukan kerana bengang tidak ditemuramah oleh media," ujarnya.

Sementara itu, Syazwan berkata, perkara-perkara negatif yang menghimpit dirinya membuatkan dia sentiasa berasa bimbang setiap kali berada di khalayak.

Dia turut meminta maaf andai ada menguris hati mana-mana pihak sehingga timbul berita-berita negatif tentang dirinya.

"Saya jadi bimbang untuk berada di kalangan ramai orang kerana takut keluar cerita yang kurang enak, walaupun saya tahu tidak ada apa yang berlaku.

"Berita-berita itu membuatkan orang tua saya percaya dan terkesan. Saya juga nak minta maaf jika selama ini ada yang terasa hati dengan percakapan dan tindakan yang saya tidak disedari," ujarnya.

Syazwan Zulkifly

Artikel Sebelum

Artikel Lain