suria

Zamani Dalam Keadaan Baik Jalani Pemulihan

Zamani bakal keluar album terbaharu bersama Slam berjudul Sinar Menunggu.
PETALING JAYA: Vokalis kumpulan Slam, Zamani Ibrahim, 44, berada dalam keadaan baik selepas mendapatkan rawatan pemulihan secara terapi di sebuah pusat pemulihan dadah di ibu kota.

Pembantu peribadinya, Aalan Ahmad, 41, berkata, pihaknya masih menunggu penyanyi itu untuk selesai rawatan yang dijangka tamat pada minggu hadapan.

"Alhamdulillah, dia berada dalam keadaan baik dan kini masih mendapat rawatan pemulihan di sebuah pusat pemulihan.

"Dia mendapatkan rawatan bermula akhir bulan lalu dan dijangka akan selesai pada minggu depan," ujarnya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Selasa.

Tambahnya, sepanjang pemulihan, Zamani tidak dibenarkan menerima pelawat kerana pihak berkenaan mahu memberi ruang sepenuhnya kepada Zamani menjalani rawatan dengan tenang tanpa sebarang gangguan.

Bagaimanapun, hanya keluarga penyanyi itu sahaja dibenarkan berurusan dengannya.

Dalam perkembangan lain, Aalan berkata, mereka kini dalam proses terakhir untuk menyiapkan album terbaharunya berjudulSinar Menunggu.

Album tersebut dijangka akan dilancarkan pada Mac depan dengan memuatkan 10 buah lagu termasuk dua buah lagu baharu.

"Album sudah hampir siap dan ada beberapa proses akhir sahaja dan Insya-Allah perancangannya pada Mac depan untuk majlis pelancaran. Kita tunggu keadaan Zamani dahulu sehingga dia benar-benar sedia bertemu peminatnya.

"Album tersebut memuatkan dua buah lagu baharu cipataan Eddie Hamid dan Johari Teh. Manakala selebihnya lagu-lagu popularnya yang dirakamkan semula," ujarnya.

Dalam perkembangan lain Aalan meminta agar peminat Zamani tidak terpedaya dengan pelbagai akaun laman sosial palsu yang diwujudkan atas nama penyanyi itu.

Aalan berkata, terdapat Facebook palsu yang memaparkan aktiviti Zamani sedangkan perkara berkenaan tidak benar.

“Saya minta semua pihak tidak terpengaruh dengan akaun palsu yang diwujudkan oleh pihak-pihak tidak bertanggungajwab.

“Kami bimbang jika pihak yang terpedaya sehingga boleh menyebabkan kerugian wang ringgit,” katanya.

Jelas Aalan, akaun rasmi laman sosial Zamani ialah Zamani slam official fanpage – untuk Facebook dan zamanislam_official – bagi akaun Instagram.

Terdahulu, media melaporkan seorang penyanyi 1990-an dan teman wanitanya ditahan polis kerana dipercayai memiliki dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Keramat dekat sini awal pagi 21 Januari lalu.

Penahanan itu menjadi kontroversi apabila tersebarnya video Zamani dalam keadaan tangan bergari yang dirakamkan anggota polis sambil dia diminta menyanyikan lagu Gerimis Mengundang.
Zamani

Artikel Sebelum

Artikel Lain