suria

Ayda Jebat Akur Watak 'Diterkam' Hero Pada Malam Pertama Diubah

Ayda Jebat.

KUALA LUMPUR: Pelakon Ayda Jebat menghormati permintaan aktor Izzue Islam yang tidak mahu melakonkan babak intim dalam drama bersiri terbaharu lakonan mereka berjudul Suami Sebelah Rumah termasuk mengubah adegan diterkam pada malam pertama.

Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat, 22, berkata, keengganan Izzue melakonkan babak tersebut tidak menggangu perjalanan drama berkenaan sebaliknya lelaki itu tampil dengan pelbagai idea bagi menggambarkan keintiman mereka yang memegang watak suami-isteri.

"Izzue adalah seorang pelakon yang profesional dan penuh dengan pelbagai idea bagi memastikan adegan intim kami tidak cacat dalam drama bersiri itu.

"Saya langsung tidak mempunyai masalah dan faham kedudukannya sebagai suami orang dan saya sendiri tidak selesa melakonkan adegan itu jika berada ditempatnya," katanya kepada mStar Online.

Ayda ditemui pada sidang media pelancaran program realiti Pencarian Wajah Aurawhite di Istana Budaya di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Ayda memberitahu sekiranya terdapat sebarang adegan intim, Izzue akan berbincang dengannya terlebih dahulu dan akan memberikan idea bagi mengelakkan mereka bersentuhan dalam babak-babak yang terdapat dalam skrip.

Kerjaya lakonan Ayda semakin rancak.

Jelas Ayda, Izzue sentiasa bersedia dengan pelbagai idea yang turut dipersetujui oleh pihak produksi.

"Sebagai contoh ada babak kami memasuki bilik hotel dan ia adalah malam pertama kami.

"Di dalam skrip Izzue sepatutnya melompat ke atas katil menerkam saya tetapi dengan ideanya kami tukar watak dia memadam lampu dan membiarkan imaginasi penonton menggambarkan apa yang terjadi," jelasnya.

Drama terbitan JS Production itu bakal menemui penonton di TV3 dalam masa terdekat ini.

Dalam perkembangan lain, Ayda berkata dia bakal memasuki set penggambaran dua buah filem pada awal tahun hadapan.

"Alhamdulillah rezeki saya dalam bidang ini semakin murah dan saya cukup teruja diberi tawaran untuk berlakon filem," katanya.

Ayda Jebat, Izzue Islam

Artikel Sebelum

Artikel Lain