suria

'Pencarian Wajah Aurawhite' Berkonsepkan Tiada Penyingkiran

Ayda, Natasha dan Amyra adalah jurucakap produk Aurawhite.
KUALA LUMPUR: Program realiti terbaharu iaitu Pencarian Wajah Aurawhite tidak akan memasukkan unsur penyingkiran peserta sebagai salah satu kelainan yang bakal ditonjolkan.

Pengasas Aurawhite Global Sdn. Bhd, Saiful Safwan berkata, kesemua 12 peserta yang bakal dipilih akan kekal bertanding sehingga ke acara kemuncak program tersebut.

"Selain memberi kelainan tujuan kita tidak melakukan penyingkiran adalah kerana ingin memberi peluang secukupnya kepada semua finalis agar mereka dapat mempamerkan kemahiran sepenuhnya.

"Ini penting kerana pihak kami mencari wakil terbaik untuk Aura White dan pendedahan secukupnya amat diperlukan," katanya kepada mStar Online.

Saiful ditemui pada sidang media pelancaran program tersebut di Istana Budaya di sini pada Rabu.

Pada majlis itu, empat duta produk berkenaan iaitu Amyra Rosli, Ayda Jebat, Izzue Islam dan Natasha Hudson turut hadir memeriahkan acara.

Dalam pada itu, Saiful memberitahu program berkenaan tidak akan ditayangkan di mana-mana stesen televisyen sebaliknya hanya disiarkan di laman web rasmi Aura White iaitu www.aurawhitetv.com pada April tahun hadapan.

Jelas Saiful, menerusi kaedah itu pihaknya dapat memfokuskan kepada pengguna Internet selain mampu memberikan lebih banyak input kepada penonton.

"Rancangan realiti di televisyen sudah banyak dan dalam mencari kelainan pihak kami terpanggil untuk menggunakan laman web bagi menyiarkan program tersebut.

"Menerusi medium itu kita dapat menfokuskan kepada pengguna internet selain dapat memberi lebih info dan hiburan pada masa sama," katanya.

Pencarian Wajah Aurawhite bakal bersiaran sebanyak 10 episod.

Sementara itu, Saiful berkata, pertandingan itu terbuka kepada seluruh wanita berusia 18 tahun ke atas malah mengalu-alukan wanita berhijab untuk menyertainya.

Jelasnya lagi, hanya 200 calon akan dinilai sebelum memilih peserta 12 terbaik untuk berentap bagi merebut gelaran juara program itu.

"Cara hendak memohon mudah sahaja iaitu calon hanya perlu mengambil gambar dengan produk Aurawhite dan memuat baik ke laman web kami atau menerusi pos," ujarnya.

Penyertaan dibuka bermula 18 Disember hingga 1 Mac 2015.

Tambah Saiful, selain kontrak bersama produk itu pemenang bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 dan hadiah sampingan lain.
Aurawhite, Aura White

Artikel Lain