suria

'Pop Krew' Bukan Ciplak Program 'The Band'

Antara selebriti yang menjayakan Pop Krew. Foto FAIHAN GHANI

PETALING JAYA: Penerbit program Pop Krew iaitu Nurul Ashikin Halim menegaskan rancangan berkenaan merupakan idea asli pihak produksinya dan ia bukan karya yang diciplak mana-mana program termasuklah The Band  (siaran Astro).

Ashikin berkata, walaupun konsepnya hampir sama iaitu sebuah program pencarian bakat menyanyi dan menari secara berkumpulan, namun ia tetap berbeza di mana ia hanya melibatkan remaja yang berumur di antara 15 hingga 19 tahun sahaja.

"Kalau program itu (The Band), ia lebih ke arah pencarian kumpulan bagi golongan dewasa. Manakala Pop Krew ke arah golongan remaja muda.

"Dan rasanya isu menciplak mana-mana program tidak pun berlaku dan biasalah mana-mana rancangan realiti sekalipun, pengisian formatnya seakan-akan sama," katanya.

Ashikin ditemui pada majlis pelancaran program realiti baharu TV9, Pop Krew di restoran Terrace The Curve, di sini pada Selasa.

Seramai 36 peserta dipilih menyertai program Pop Krew.

Turut hadir pada majlis itu ialah  Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Ahmad Izham Omar, Ketua Pegawai Operasi, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Seelan Paul dan Pengurus Besar TV9, Zurina Othman.

Dalam pada itu, tambah Ashikin, Pop Krew juga merupakan kesinambungan program Idola kecil Ultra di mana ia dikembangkan kepada pencarian bakat-bakat golongan remaja sekitar 15 hingga 19 tahun untuk disatukan menjadi sebuah kumpulan.

Sebanyak 36 peserta terbaik telah dipilih hasil  pemilihan uji bakat yang berlangsung pada 10 hingga 19 Oktober lalu di Johor, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

Kemudian hanya 24 peserta dipilih pada minggu kedua konsert berlangsung sebelum ia dibahagikan kepada dua kumpulan di mana setiap satunya akan dikendalikan oleh pengajar mereka yang dipanggil sebagai coach iaitu Tomok dan Stacy.

"Menerusi pembahagian tersebut, Tomok dan Stacy akan mengasingkan mereka kepada beberapa kumpulan lagi bagi membolehkan mereka membuat persembahan dan ia akan dirombak setiap minggu mengikut keserasian peserta.

"Saya yakin, berdasarkan bakat-bakat mereka, program ini mampu menarik perhatian penonton menyaksikan persembahan mereka yang mantap, tambahan pula mereka akan dibantu tenaga pengajar bagi tarian dan vokal," ujarnya.

Selain itu, persembahan bagi setiap peserta akan diadili sepenuhnya oleh juri, Edry Abdul Halim dan Altimet.

Pop Krew yang dihoskan oleh Deen (Hot FM) dan Nana Mahazan akan mula bersiaran pada 14 November ini setiap Sabtu pukul, 8.30 malam di TV9.

Pop Krew

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain