suria

Tuduhan Kempen 'Switch Off'14' Bangkang Kerajaan Tidak Benar

Presiden Seniman, Zed Zaidi (kanan) dan Presiden Gafim, Jurey Latiff Rosli (dua dari kiri) bersama beberapa karyawan seni pada kempen Switch Off'14, di Dewan Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru Kuala Lumpur, pada Selasa.
KUALA LUMPUR: Kempen Switch Off’14 yang dianjurkan pada Selasa berjaya menghimpunkan lebih 500 karyawan seni daripada  pelbagai latar belakang yang sama-sekali tidak berhasrat membangkang kerajaan.

Pengerusinya Jurey Latiff Rosli berkata, kempen berkenaan turut berjaya menepis tuduhan dan juga pelbagai tohmahan  kononnya aktiviti itu diadakan untuk kepentingan periuk nasi pihak-pihak tertentu.

"Mereka kata kita nak bangkang kerajaan. Adakah kita bangkang kerajaan pada hari ini?

"Ada pihak telah salah anggap apa yang kita nak buat sebaliknya kita sekadar hendak menyuarakan masalah dalam industri,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran kempen Switch Off’14 di Dewan Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru di sini.

Hadir menyertai kempen berkenaan ialah ahli-ahli daripada persatuan di bawah Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) antaranya Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Pesatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Persatuan Pemuzik dan Penyanyi Tanah Air (Papita), Persatuan Kebajikan Artis-Artis Pelapis (Perkap) dan Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM).

Dua persatuan seni lain iaitu Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) dan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) tidak menyokong usaha berkenaan.

Kempen Switch Off’14 berlangsung sehingga 11 November depan.

Dalam pada itu Jurey berkata, kempen berkenaan terpaksa dilakukan kerana kebanyakan pekerja seni termasuklah para atis tidak mendapat pembelaan sepenuhnya dan usaha yang dilakukan untuk mengangkat martabat golongan berkenaan sering kali gagal.

Antara karyawan seni yang hadir pada Kempen Switch Off'14.

Katanya, dengan adanya usaha itu, ia akan dapat memberi peluang kepada pihaknya menyuarakan rasa tidak puas hati kepada pihak kerajaan dengan cara yang betul.

Malah katanya, 11 permintaan yang terkandung dalam resolusi kempen berkenaan akan dibawa kepada pihak kementerian berkaitan untuk dipetimbangkan terutamanya mengenai bayaran yang tidak setimpal daripada stesen-stesen televisyen terhadap drama-drama yang dibeli mereka.

“Kita mengharapkan dengan adanya kempen Switch Off’ 14 ini, akan berlaku satu perubahan positif yang pantas dan berkesan demi memperbaiki ekosistem bagi industri hiburan negara,” katanya.

Tambah Jurey, kemuncak kepada kempen itu pada 11 November depan, pihaknya akan berusaha untuk mengadakan satu majlis bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek bagi membincangkan 11 usul yang terkandung dalam resolusi yang sudah dipersetujui.

Sementara itu pengarah kempen tersebut iaitu Gibran Agi berkata, semua karyawan seni diminta untuk menyokong Switch Off’14 dengan menukar gambar profil di laman media sosial masing-masing kepada logo kempen tersebut sehingga 11 November 2014.

Semua karyawan terlibat juga diminta untuk ‘menjimatkan’ bekalan elektrik dengan tidak menonton televisyen bermula pukul 8 malam sehingga pukul 11 malam pada tarikh itu.

“Pada tempoh itu, kita semua boleh memberi ruang untuk bersama-sama keluarga dengan menjimatkan tenaga elektrik apabila tidak menonton rancangan televisyen,” katanya menggambarkan tanda protes terhadap sikap pihak stesen televisyen di neagra ini.

Berikut ini 11 pemintaan sempena Kempen Switch Off’14 

1. Mewujudkan Akta Industri Kandungan Kreatif

2. Menaikkan kadar harga dan menyelaraskan belian kandungan di stesen-stesen televisyen

3. Pengagihan slot televisyen yang lebih adil dengan menekankan 70 peratus kandungan tempatan

4. Penguatkuasaan polisi Made In Malaysia (MIM) dan Puducitra

5. Menubuhkan satu badan atau one-stop centre yang mengawal selia industri TV secara langsung

6. Melantik wakil-wakil industri yang dipersetujui oleh pemain industri dalam memainkan peranan membuat dasar serta keputusan yang melibatkan industri

7. Menyediakan slot-slot televisyen yang mengkhususkan isi kandungan berbentuk patrotik sserta mendaulatkan citra budaya bangsa

8. Skim pengecualian cukai bagi syarikat-syarikat korporat yang terlibat dalam penajaan penerbitan televsiyen tempatan dan bagi pembelian peralatan teknikal terkini serta software yang melibatkan industri televisyen

9. Skim insurans khusus melibatkan warga industri dan hartanah

10. Dana dan geran khusus bagi memajukan kandungan industri televisyen negara dan untuk menigkatkan lagi kemahiran para pekerja.

11. Menekankan hak IP (Harta Intelek) yang lebih adik dan munasabah
Switch Off'14, Jurey Latiff, Gafim

Artikel Lain