suria

Baby Shima Tangguh Promosi Kerana Tragedi Dua Pesawat MH

PETALING JAYA: Penyanyi Baby Shima tidak berasa ralat apabila terpaksa menangguhkan aktiviti promosi single keduanya berjudul Nombor Dua yang dilancarkan pada Februari lalu selama enam bulan bagi menghormati kejadian menimpa dua pesawat milik Malaysia Airlines (MAS) iaitu MH370 dan MH17.

Baby Shima atau nama sebenarnya Nor Ashimah Ramli, 22, berkata, sepanjang tempoh berkenaan bukanlah masa sesuai untuk melakukan promosi kerana seluruh rakyat Malaysia sedang bersedih atas kejadian tersebut termasuk dirinya.

"Saya tidak ralat aktiviti seni saya terpaksa dihentikan kerana sebagai seorang rakyat Malaysia yang turut bersedih dengan kejadian tersebut adalah menjadi tanggungjawab saya untuk menghormati perasaan semua mangsa terlibat.
"Itu bukanlah masa yang sesuai untuk mempromosikan lagu terbaharu saya dan saya anggap penangguhan itu mempunyai hikmah disebaliknya," katanya kepada mStar Online.

Baby Shima tidak berasa ralat promosi lagu terbaharunya terpaksa ditangguhkan selama enam bulan.

Shima ditemui ketika hadir ke Menara Star untuk sesi promosi lagu terbaharunya itu pada Jumaat.

Dia yang berasal dari Johor Bahru pernah popular menerusi lagu ciptaan Edry Abdul Halim berjudul Tak Sabar.

Dalam pada itu, Baby Shima berkata, biarpun lagu berkenaan telah dilancarkan hampir enam bulan tanpa sebarang promosi namun dia masih mampu menarik nafas lega kerana ia masih diterima baik oleh pendengar dan peminat terutamanya di Sabah dan Sarawak.

Jelasnya lagi, sekarang adalah waktu sesuai untuk dia kembali bergiat aktif mempromosikan Nombor 2  yang turut dihasilkan oleh Edry sebelum muncul dengan lagu berikutnya.


Menerusi lagu terbaharunya Baby Shima masih mempertaruhkan muzik Pop Futuristic.

"Saya percaya sesuatu dugaan itu pasti ada hikmah disebaliknya dan sebagai seorang penyanyi baharu saya yakin dengan usaha berterusan Insya-Allah lagu itu akan dapat diterima secara meluas," ujarnya.

Sementara itu, bercakap lanjut mengenai lagu berkenaan, Baby Shima mengakui menangis ketika merakamkan lagu berkenaan kerana tertekan dengan ketegasan Edry di studio.

Jelasnya Edry sangat mementingkan kualiti kerja dan mahu memastikan hasil akhir Nombor 2 adalah yang terbaik. 

"Sebelum ini saya tidak pernah berada di dalam studio bersamanya ketika merakamkanTak Sabar pada tahun lalu dan kali ini Edry menyelia proses rakaman itu dan saya akui dia seorang yang tegas sehingga saya menangis.

Penyanyi berusia 22 tahun ini pernah memegang watak utama dalam telefilem berjudul Ayam Ribut Syawal.

"Bagaimanapun peluang bekerjasama dengan Edry adalah pengalaman cukup berharga dan beliau bersikap demikian kerana ingin menghasilkan produk terbaik untuk saya," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Baby Shima berkata, selain menyanyi dia kini juga berjinak-jinak dalam dunia lakonan dan memberitahu pernah muncul sebagai watak utama dalam telefilem berjudul Ayam Ribut Syawal pada tahun lalu.

Malah kata Baby Shima, penglibatannya dalam dunia lakonan turut diintai oleh sebuah syarikat pengurusan artis yang mahu melamarnya bernaung di bawah syarikat berkenaan namun dia lebih selesa kerjayanya diuruskan Aico Entertainment.

"Alhamdulillah biarpun kerjaya saya masih hijau tetapi banyak peluang diberikan untuk saya mengembangkan bakat selain nyanyian dan sejak muncul dalam telefilem Ayam Ribut Syawal banyak juga tawaran lain yang datang namun buat masa ini saya ingin fokus kepada single kedua.

"Bagaimanapun saya ingin terus berlakon kerana ia sangat menyeronokkan dan memberi pengalaman baharu kepada saya," katanya.
Baby Shima, Nombor Dua.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain