suria

Pengarah Filem Jamil Sulong Meninggal Dunia

Gambar Allahyarham Jamil Sulong bersama isterinya Rosnani Jamil (tengah) dan teman seangkatan dengan mereka, Datuk Maria Menado pada satu majlis pada tahun 2012.

PETALING JAYA: Pengarah filem veteran, Datuk Jamil Sulong, 88, meninggal dunia di rumah anaknya di Bukit Utama Damansara, di sini kira-kira pukul 9.35 malam Khamis.

Anak Allahyarham, Dr Anwardi Jamil berkata, bapanya meninggal dunia akibat serangan angin ahmar.

Katanya, Allahyarham dirawat kira-kira sebulan di sebuah hospital di sini akibat penyakit berkenaan.

Jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Al-Ghufran, Pengiran Taman Tun Dr Ismail, dekat sini pada pukul 9.30 pagi Jumaat untuk dimandikan dan dikafankan serta solat jenazah.

Jenazah kemudiannya akan dibawa ke Janda Baik, Bentong, Pahang untuk dikebumikan selepas solat Jumaat.

Allahyarham adalah pengarah filem Melayu kedua terbanyak mengarah filem selepas Allahyarham Tan Sri P.Ramlee. 

Filem-filem arahannya seperti Batu Belah Batu Bertangkup, Si Tanggang, Lela Manja, Bidasari dan Raja Bersiong.

Karya arahan Allahyarham juga banyak merangkul anugerah bukan sahaja dalam negara tetapi juga peringkat antarabangsa.

Allahyarham juga turut terlibat menghasilkan gurindam selain menulis dan mencipta lagu-lagu untuk P.Ramlee termasuk Berkorban Apa Saja, Tiru Macam Saya, Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Azizah.

Allahyarham berkahwin dengan Datin Rosnani Jamil dan dikurniakan empat orang anak iaitu Murniaty, 60, Arjunaidi, 57, Anwardi, 55, dan  Asnadi, 48, serta lapan orang cucu.

 

Jamil Sulong

Artikel Lain