suria

Awie (Wings) Mahu Fokus Besarkan Anak

Awie kini memberikan tumpuan kepada lima anaknya yang sedang membesar.

PETALING JAYA: Vokalis Kumpulan Wings iaitu Awie mahu memberi tumpuan dalam membesarkan lima anaknya daripada memikirkan mengenai bakal isteri jika ditakdirkan rumah tangganya dengan Rozana Misbun tidak dapat diselamatkan.

Awie atau nama sebenarnya Azhar Othman, 46, berkata, memberi tumpuan kepada pembesaran anak-anak adalah perkara penting kerana pada ketika ini mereka memerlukan perhatian sepenuhnya.

"Cerai pun belum macam mana hendak cari pengganti? Buat masa ini ia bukan fokus saya kerana tumpuan adalah sepenuhnya kepada anak-anak yang tinggal dengan saya.

"Lagipun manalah ada wanita yang mahukan lelaki beranak lima seperti saya dan sekiranya ada pun tidak mungkin dia boleh sayang dan menerima anak-anak saya semua," katanya kepada mStar Online.

Awie ditemui pada majlis tayangan perdana filem terbaharunya Dollah Superstar di Cathay E@Curve di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Awie berkata, sebagai seorang lelaki sudah tentu dia memerlukan seorang wanita dalam hidupnya sebagai tempat bermanja dan meluahkan perasaan ditambah dengan usianya kini semakin meningkat. 

Bagaimanapun sekiranya ditakdirkan bertemu jodoh dia mahu mencari wanita yang mampu mencintai anak-anaknya sebagaimana dia menyayangi mereka.

"Saya tidak boleh tipu diri sendiri dan sebagai seorang lelaki saya perlukan wanita dalam hidup saya untuk mengadu masalah dan berkasih sayang tetapi orang itu nanti perlu menerima anak-anak saya sepenuhnya dan bukan hanya mencintai saya," jelasnya.

Sementara itu, Awie berkata, biarpun malu dengan kekecohan yang melanda rumah tangganya namun dia tetap cekalkan hati untuk terus keluar mencari rezeki demi anak-anaknya.

Kata Awie, pada tahap ini dia perlu kuat untuk membina semula kehidupannya yang disifatkan telah musnah dan perlu bermula dari bawah.

"Anak-anak kekuatan saya dan dari dahulu lagi apa juga yang saya lakukan adalah demi mereka semua dan bukannya untuk diri sendiri.

"Biarlah orang hendak kata apa yang penting anak-anak ada bersama saya dan kerja keras ini adalah untuk mereka," ujarnya. 

Dalam perkembangan lain, Awie berkata, dia terharu dengan tindakan pengarah filem Dollah Superstar iaitu Kabir Bhatia yang sanggup menunggunya selama lapan bulan bagi memastikan dia dapat menerajui peranan utama karya tersebut.

Jelas Awie, biarpun tidak pernah bekerjasama dengan Kabir namun dia menyifatkan pengarah itu profesional dan tidak keberatan untuk bekerja di bawahnya lagi selepas ini.

"Jadual saya memang penuh tetapi beliau sanggup tunggu saya dan itu membuatkan saya betul-betul terharu dan pengalaman bekerjasama dengannya tidak sukar kerana dia seorang yang profesional dan mudah menerima pandangan orang lain.

"Dollah Superstar bukan sebuah filem biasa tetapi mempunyai keunikan tersendiri dan saya yakin ia akan mendapat sambutan hangat penonton," ujarnya.

Awie, Dollah Superstar.

Artikel Berikut

Artikel Lain