suria

Persembahan Terbaharu Bukti Hujan Masih Bersatu

Hujan rancang untuk meraikan ulang tahun ke-10 penubuhan mereka pada tahun hadapan.

KUALA LUMPUR: Kumpulan Indie iaitu Hujan yang bakal beraksi di pentas Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada acara DFP Seni Fest 2014 pada 20 September ini membuktikan bahawa kumpulan tersebut masih bersatu.

Vokalisnya, Noh Salleh, 29, berkata, khabar angin sejak tahun lalu yang mengatakan kesemua ahli kumpulan kini sudah membawa haluan masing-masing adalah tidak benar sama sekali.

"Dulu lagi saya dengar dan beritahu kami masih bersama, mungkin kerana saya ada projek bersama kumpulan lain dan cuba bergerak solo ramai yang menganggap Hujan sudah berpecah.

"Kami tidak ada masalah dan masih terima tawaran mengadakan persembahan secara bersama, kalau kami sudah berpecah Hujan tidak terima persembahan di DFP buat kali kedua ini," katanya kepada mStar Online.

Noh ditemui selepas sidang media Akustik 2, DFP Seni Fest 2014, di Hotel Traders, di sini, Isnin.

Antara artis lain yang terlibat dalam persembahan itu nanti ialah Ning Baizura, Zainal Abidin, Atilia, David Gomes, Jay Jay, Fredo, Elvira Arul dan Bunkface.

Persembahan itu bersempena Festival Seni DFP iaitu sebuah pesta keraian yang menyajikan muzik ekstravaganza dalam perayaan seni dan budaya bermula 16 September hingga 21 September ini.

Dalam pada itu, Noh berkata, kumpulan tersebut sedang merancang untuk mengadakan sebuah persembahan khas sempena ulang tahun ke 10 mereka ditubuhkan tahun depan.

"Insya-Allah tahun depan Hujan sudah berusia 10 tahun, jadi kami sedang merancang untuk buat aktiviti bagi meraikan ulang tahun itu," ujarnya.

Selain Noh, kumpulan Hujan dianggotai empat lagi anggota, Am, AG Coco, Dimas dan Izzat.

Sementara itu, berkaitan dengan persembahan Akustik 2 ini, Noh merancang untuk melakukan persembahan akustif secara santai berbanding sebelum ini.

Katanya, dia akan membawakan empat buah lagu popular kumpulan itu iaitu Kotak Hati, Bahagia, Bagaikan Matahari dan Mencari Konklusi.

"Persembahan kali ini berbeza sedikit kerana kami lebih bersahaja dan santai, kita akan buat kelainan pada embat lagu yang akan dinyanyikan itu," ujarnya.

Sementara itu, konsert unplugged bertemakan Akustika ini bakal mempersembahkan lagu-lagu popular yang merangkumi pelbagai genre muzik.

Tiket bagi menyaksikan persembahan berkenaan dijual pada harga RM100 dan RM70.

Tempahan juga boleh dibuat menerusi talian 03-2051 7007 atau e-mel [email protected]  atau melayari laman web www.mpo.com.my

Hujan, Noh Hujan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain