suria

Shah Iskandar Terkejut Dikatakan Sudah 'Naik Harga'

Shah Iskandar terkejut dituduh sudah mula naik harga.
PETALING JAYA: Pelakon Shah Iskandar menafikan dia sudah menaikkan harga bayaran selepas memenangi Anugerah Pelakon TV Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2013 (ABPBH 2013) yang berlangsung pada awal Mei lalu.

Shah atau nama sebenarnya Shah Iskandar Mahfuz, 32, berkata, dia terkejut apabila dituduh sedemikian sedangkan sehingga kini dia belum menaikkan harga bayarannya apabila ditawarkan berlakon dalam sesebuah produksi.

"Saya terkejut apabila dikatakan sudah naik harga sejak menang anugerah sedangkan jadual kerja sudah diaturkan sehingga bulan September sebelum menang anugerah itu.

"Jadi setakat saya belum meninggikan kadar harga bayaran saya. Pelik rasanya entah mana datang cerita yang tidak masuk akal ini?" katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Isnin.

Tambah Shah, dia mengakui sebagai seorang artis yang mendapat penghargaan, mereka perlu menaiktaraf kerjaya masing-masing termasuklah mengkaji semula harga bayaran bagi membolehkan nilai seseorang artis itu dilihat lebih berkualiti dan eksklusif.

Bagaimanapun kata pelakon yang popular dengan drama Jika Itu Takdirku, setakat ini dia belum terfikir untuk menaikkan harga bayarannya kerana menganggap masih lagi baharu dalam industri hiburan tempatan.

"Saya baru lima tahun dalam industri. Bagi saya kemenangan yang diraih adalah sebagai pemberi semangat kepada saya untuk terus maju ke hadapan.

"Rasanya saya belum layak lagi untuk menaikkan harga bayaran kerana banyak lagi yang saya perlu belajar di bidang seni lakon ini," ujarnya.
Shah Iskandar

Artikel Lain