suria

Ahmad Idham Tinggalkan Excellent Pictures Tubuhkan Akademi

Ahmad Idham telah berpindah ke Johor bagi memberi fokus terhadap akademi AIFA.

PETALING JAYA: Penerbit filem Ahmad Idham mengesahkan telah meninggalkan syarikat produksi miliknya Excellent Pictures Sdn Bhd sejak Mei lalu.

Ahmad Idham berkata, syarikat tersebut kini diusahakan sendiri oleh rakan kongsi manakala dia bersama keluarga pula telah berpindah ke negeri Johor bagi memberi fokus kepada akademi yang baru ditubuhnya iaitu Ahmad Idham Film Academy (AIFA) yang terletak di Nusajaya.

"Penubuhan AIFA merupakan impian saya sejak dahulu lagi dan memandangkan kerajaan berhasrat melahirkan 50 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi, saya ingin menyahut cabaran itu menerusi penubuhan akademi ini di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP).

"Untuk itu, saya perlu membuat keputusan meninggalkan Excellent agar dapat memberi sepenuh perhatian terhadap AIFA dan kerana itu saya bawa sekali isteri dan anak-anak pindah ke Johor agar lebih memudahkan pergerakan saya," katanya yang dihubungi mStar Online pada petang Ahad.

Tambah Ahmad Idham, pembukaan AIFA adalah pilihan tepat berikutan Pinewood Studios menyediakan kemudahan produksi studio filem dan televisyen canggih bertaraf dunia yang juga terletak di lokasi sama.

Malah katanya, apa yang dilakukan sekarang ini merupakan perancangannya untuk Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), namun cadangan itu tidak diendahkan.

"Sebelum ini ketika saya aktif di Finas, saya pernah bercakap mengenai perkara ini tetapi pemikiran saya dihukum sebelum dibicarakan.

"Sedangkan saya mahu industri perfileman kita mempunyai masa depan yang cerah. Tetapi apa yang saya cakap tidak diendahkan.

"Maka saya ambil peluang yang ada untuk menubuhkan AIFA  yang akan turut  bekerjasama dengan Pinewood sebagai batu loncatan kepada bakat baru dalam bidang berkenaan," ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Idham juga bakal menubuhkan sebuah syarikat produksi untuk memudahkan pelajar-pelajarnya menjalani kerja-kerja praktikal.

Ahmad Idham, AIFA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain